Dua penganggur didakwa rompak tiga kedai serbaneka - Utusan Malaysia

Dua penganggur didakwa rompak tiga kedai serbaneka

TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis semasa tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas tiga kedai serbaneka membabitkan kerugian RM2,563.60 di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang juruwang dengan mengambil wang tunai sebanyak RM900 dari mesin kaunter milik kedai serbaneka di Cheras Business Centre di sini, pada pukul 5 pagi, 17 Februari lalu.

Mereka turut didakwa merompak wang tunai RM732 dengan senjata sama di Taman Segar, Cheras di sini pada pukul 5.40 pagi, 23 Februari lalu.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid, tertuduh, Muhammad Hidayat Abdullah, 27 dan Muhammad Ikmal Hafizuddin Jefri, 27 didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata sama terhadap seorang juruwang dengan mengambil wang tunai RM931.60 dari mesin kaunter kedai serbaneka di Taman Mutiara Barat, Cheras di sini, pada pukul 4.14 pagi, 22 Februari lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, kes dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Saravanan Neyappan dan Vivien Yeap Jie Xi yang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan adalah tidak boleh dijamin. Kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan bagi semua pertuduhan dan kes disebut semula pada 13 April dan 15 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN