PETALING JAYA: Dua maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh daripada jentera skylift ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah rumah pangsa di Subang Jaya dekat sini, semalam.
Laporan berhubung kejadian diterima polis melalui panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam kira-kira pukul 3.50 petang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tiga lelaki berusia 28 sehingga 46 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk apartmen berkenaan.
Katanya, mereka dipercayai terjatuh ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan skylift.
“Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
“Manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan lebat dan pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk bedah siasat,” ujarnya. – UTUSAN










