TELUK INTAN: Dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melindungi dan mengangkut migran warganegara sama, bulan lalu.
Tertuduh, Mustajab, 44, dan Khairul Anwar, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Mustajab didakwa telah melindungi 10 migran termasuk seorang wanita yang diseludup dari Indonesia di kebun kelapa sawit Sungai Payung, Selekoh dalam daerah Bagan Datuk pada pukul 6.15 petang, 13 Februari 2026.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding sama, rakannya, Khairul Anwar, 31, didakwa sebagai operator sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna putih telah mengangkut empat migran membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang diseludup di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 yang boleh dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun dan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala kedua-dua warga asing itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Menerusi laporan media pada 14 Februari lalu, seramai 34 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba keluar dari Malaysia secara haram berjaya ditahan dalam serbuan berasingan di Kampung Sungai Payung, Selekoh.
Dalam operasi itu, seorang tekong warga Indonesia berusia 44 tahun ditahan pada pukul 9.40 malam di lokasi sama selain seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun yang ditahan di sebuah hotel di Hutan Melintang.
Berdasarkan siasatan, lelaki yang ditahan di hotel itu bertindak sebagai ‘transporter’ di mana dia dan tekong tersebut berperanan dalam menguruskan makanan dan pengangkutan migran. – UTUSAN










