PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus pada Rabu dan Khamis ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban rakyat yang pulang ke kampung halaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu membabitkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.
“Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga pukul 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), membabitkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat serta memeriahkan sambutan Aidilfitri di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










