KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dinasihat untuk bersara dari politik selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri gagal selain menjadi liabiliti kepada parti sendiri.
Aktivis politik, Faizan Mohd. Nor berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu juga dikenali ramai sebagai raja formula yang gagal dan ramai penyokong PH berasa tertipu dengan janji-janji Rafizi sebelum PRU15.
Katanya, semasa beliau memegang jawatan Menteri Ekonomi, Program Data Utama (PADU) juga merupakan program yang gagal di bawah beliau, di mana kosnya melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM 85.27 juta.
“Eloklah Rafizi kembali ke dunia korporat berbanding membuat kerja-kerja politik yang menyerlahkan lagi kegagalan beliau sebagai ahli politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faizan berkata, begitu juga kritikan beliau ke atas National Feed Lot (NFC) menyebabkan Malaysia tidak mempunyai ladang ternakan lembu berskala besar dan masih bergantung kepada import dari luar negara.
Sebelum ini, Prof Tajudin Rasdi pernah mendakwa Rafizi sebagai liabiliti buat Pakatan Harapan (PH) dan politik negara manakala Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula mengatakan Rafizi sebagai hipokrit.
Pengasas PKR, Lum Yong pula mengatakan Rafizi sebagai menteri gagal dan ia turut disahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan baru-baru ini yang juga mendakwa sedemikian. – UTUSAN











