KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada Iran atas pemergian pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei yang tewas dalam serangan besar-besaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas kediaman beliau.
Perkara itu diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi penerangan situasi keselamatan di Iran dan rantau Timur sebelum diluluskan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Anwar meminta Dewan Rakyat membaca al-Fatihah terutama atas pemergian Ayatollah Ali dan keluarganya; Menteri Pertahanan Iran, Aziz Nasirzadeh serta bekas Presiden, Mahmoud Ahmadinejad akibat dari serangan rejim Zionis bersama AS itu.
“Kepada mereka termasuk rakyat serta 180 kanak-kanak di Minab yang terkoban. Saya mohon dewan menghadiahkan al-Fatihah dan kepada rakan-rakan lain untuk bermenung sejenak,” katanya, hari ini.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump berkata, negaranya akan menyerang Iran dengan kekuatan yang belum pernah disaksikan sebelum ini jika negara itu membalas serangan AS dan Israel yang membunuh Ayatollah Ali pada Sabtu lalu.
Trump, yang berikrar untuk melakukan perubahan rejim di republik Islam itu menulis di platform Truth Social miliknya bahawa beliau akan menyerang dengan sangat keras, lebih keras daripada yang pernah mereka dilakukan sebelum ini.
Media Iran sebelum ini melaporkan pada Ahad bahawa anak perempuan, menantu lelaki dan cucu perempuan Ayatollah Ali telah terbunuh dalam serangan AS dan Israel.
Iran sejak itu telah membalas dengan melancarkan serangan di seluruh rantau Teluk, termasuk di ibu negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi dan berhampiran pangkalan tentera AS di rantau tersebut.-UTUSAN










