Dedahkan nama, ini bukan 'teaser' filem - Muhammad Kamil - Utusan Malaysia

Dedahkan nama, ini bukan ‘teaser’ filem – Muhammad Kamil

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Program Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat 2.0 2026 peringkat negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencabar Victor Chin supaya mendedahkan identiti Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan itu.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendedahan itu perlu dibuat secara terbuka tanpa sebarang helah mahupun berselindung.

“Tidak perlu lagi berwayang-wayang atau berselindung. Namakan sahaja individu yang dituduh umpamanya ada Ahli Parlimen PKR yang terlibat seperti didakwa, saya cabar untuk nyatakan namanya.

“Nak sebut, sebutlah siapa dia. Ini main petik nama dan guna singkatan sahaja. Jangan sembunyi di sebalik istilah-istilah atau ‘teaser’ sebegini. Itu tidak membantu. Apa ingat ini teaser filemkah?” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat 2.0 2026 peringkat negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dakwaan yang mengaitkan pemimpin parti politik menerima sogokan itu bukan sahaja dilihat bermotifkan agenda politik, malah dalam keadaan terdesak untuk kepentingan politik sendiri.

“Tindakan berkenaan juga dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian daripada usaha berterusan kerajaan dalam membanteras rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan kebocoran,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan Victor bahawa seorang Ahli Parlimen PKR telah meminta RM10 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan mafia korporat, namun beliau hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.

Dakwaan itu dikemukakan ahli perniagaan berkenaan dalam dokumen setebal 40 muka surat.

Menurut Viktor, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu berkenaan tidak diselesaikan seperti dijanjikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN