Dasar mesra warga emas di Kuala Lumpur dikaji - Utusan Malaysia

Dasar mesra warga emas di Kuala Lumpur dikaji

HANNAH Yeoh (berdiri, tengah) bersama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika bergambar bersama pesakit-pesakit di Wad Geriatrik, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar pembangunan bagi menjadikan ibu negara sebagai bandar mesra warga emas susulan peningkatan populasi golongan tersebut di Kuala Lumpur dikaji semula.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelbagai inisiatif baharu sedang dirangka dan akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memperkukuh sokongan kepada golongan itu.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan ketersediaan menghadapi perubahan demografi serta keperluan masyarakat bandar yang semakin kompleks.

“Kenapa warga emas? Kerana warga emas semakin meningkat populasinya dan mereka memerlukan banyak sokongan daripada pihak kerajaan.

“Oleh sebab itu, kita nak pastikan Kuala Lumpur ini mesra warga emas dan kita nak mulakan pelbagai perkhidmatan untuk membantu mereka. Jadi ini adalah untuk warga emas,” katanya ketika sidang media Inisiatif Baharu dan Pemerkasaan Pesakit Rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), di sini hari ini.

Tambahnya, usaha tersebut turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan sedia ada termasuk pengangkutan awam seperti bas percuma GoKL bagi memastikan manfaatnya dapat dimaksimumkan kepada golongan sasaran.

Katanya, kerajaan juga sedang mengkaji semula laluan serta penggunaan perkhidmatan bas itu dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Bagi kita sekarang, ia tentang memaksimumkan penggunaan GoKL. Oleh itu, perkara ini sedang diteliti.

“Yang paling penting, apa-apa perkhidmatan percuma yang kita mahu sediakan dibiayai oleh pembayar cukai. Jadi kita mahu memastikan ia benar-benar disalurkan kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas atau kanak-kanak yang bersekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN