TAPAH: MIC menafikan laporan parti itu akan menyertai Perikatan Nasional (PN) seperti yang didakwa oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, dakwaan Takiyuddin itu tidak berasas dan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan tersebut.
“Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu. Tiada keputusan dibuat oleh MIC untuk menyertai PN setakat ini.
“Saya sudah jelaskan sejak awal lagi, kita akan serahkan kepada CWC untuk membuat keputusan dan setakat ini CWC belum memutuskan apa-apa,” katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tapah ditemui pemberita pada majlis sumbangan raya kepada pelajar sekolah menengah di sini hari ini.
Menurut Saravanan, MIC tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai PN namun hanya membuat pertanyaan lanjut berhubung parti tersebut.
“Terdapat tawaran daripada bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk MIC menyertai PN, jadi kami hanya mengemukakan pertanyaan lebih lanjut.
“Saya juga tidak mengetahui mengenai sebarang pertemuan yang dirancang antara Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Takiyuddin Hassan yang dijadual pada malam ini.
“Namun, sudah tentu Presiden akan memaklumkan kepada saya tetapi setakat ini tiada lagi,” katanya.
Terdahulu hari ini Takiyuddin berkata, PN akan menyerahkan surat rasmi kepada MIC bagi memaklumkan penerimaan parti itu dalam PN.
Menurutnya, beliau dijadualkan bertemu Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran di Kuala Lumpur pada malam ini bagi menjelaskan keputusan tersebut.
Menurutnya, MIC telah diterima lebih awal iaitu pada Disember 2025, namun mesyuarat terbaru PN pada 14 Mac lalu telah mengesahkan minit penerimaan parti itu sebagai parti anggota di bawah kepimpinan baharu. – UTUSAN










