KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia yang kini berada di Dubai menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya keadaan keselamatan di bandar itu tidak terkawal susulan krisis Asia Barat.
Menurut pemilik akaun Threads @apanmalek, situasi di Dubai ketika ini adalah selamat dan berjalan seperti biasa tanpa sebarang insiden seperti yang digembar-gemburkan di media sosial lain.
“Saya sekarang berada di Dubai dan keadaan di sini semuanya selamat, tiada apa-apa pun berlaku seperti yang didakwa.
“Di media sosial banyak cerita ditokok tambah, termasuk dakwaan kononnya ada ahli keluarga terkena serpihan bom, peluru berpandu jatuh, pekerja offshore terjejas dan pelbagai lagi cerita yang tidak berasas,” katanya.
Beliau menyifatkan sebahagian perkongsian tersebut lebih kepada sensasi dan mengaitkan pekerjaan atau hubungan kekeluargaan yang sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan situasi semasa.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai khabar angin serta memastikan maklumat diperoleh daripada sumber rasmi sebelum membuat sebarang kesimpulan. – UTUSAN










