Dakwaan dilemparkan Sanusi itu terlalu sombong  - Mahdzir Khalid  - Utusan Malaysia

Dakwaan dilemparkan Sanusi itu terlalu sombong  – Mahdzir Khalid 

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan bekas wakil rakyat yang didakwanya memiliki tanah seluas 300 ekar di kawasan itu.

Mahdzir berkata, terdapat enam bekas wakil rakyat yang masih hidup di kawasan itu termasuk beliau sendiri yang pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Terap dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu.

Katanya, dakwaan dilemparkan Muhammad Sanusi itu terlalu sombong dan sengaja mahu menimbulkan persepsi buruk memandangkan tiada antara mereka memiliki tanah seperti keluasan didakwa di Kuala Nerang.

“Bekas wakil rakyat masih hidup di Kuala Nerang ada saya, Datuk Seri Ghazali Ibrahim; Datuk Badrol Hisham Hashim; Datuk Syed Sobri Syed Hashim; Datuk Abdul Latif Mat Saman dan Kama Noriah Ibrahim. Seorang pun tiada tanah seluas itu di sana.

“Jadi siapa yang dia tuju ada 300 ekar tanah, kemudian kata kami (kerajaan sekarang) tak buat dah macam itu, tak ikut dah teladan itu. Sombong sangatkah kamu sampai macam itu kata kat orang, ini bulan puasa tak payah kata macam itu dan saya pun jarang nak cakap macam ini tapi Sanusi melampau,” katanya pada Majlis Simfoni Sinergi Media@KEDA 2026: Edisi Moreh di sini, semalam.

Pada 11 Mac lalu, Muhammad Sanusi mendakwa semua hasil mahsul kekayaan negeri itu untuk rakyat Kedah dan tiada lagi wakil rakyat seperti dahulu yang mengambil tanah kebun getah seluas 300 ekar di Kuala Nerang untuk diri sendiri.

Beliau mendakwa, bekas wakil rakyat dimaksudkan juga mewujudkan pusat khidmat yang besar dengan mengambil tanah kerajaan tanpa mengetahui punca kewangan yang sebenar.

Mahdzir yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berkata yang beliau  hanya memiliki tanah berkeluasan 24 ekar atau 9.7 hektar di Kuala Nerang atas namanya.

“Kenyataan dia tak betul dan tak boleh diterima, jadi saya akan minta dia nyatakan secara rasmi siapakah wakil rakyat yang disebut itu dari Kuala Nerang. Kenyataan itu apakah hanya nak dapat kelebihan politik,” katanya.

Beliau turut mempersoal kenyataan Muhammad Sanusi tentang Rumah Bangsa yang didakwanya UMNO mahu menjadi abang besar dalam gagasan berkenaan.

Katanya, hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk orang Melayu kembali kepada satu gabungan termasuk mengajak ahli-ahli UMNO sendiri yang berhenti, keluar parti, dipecat, digantung atau merajuk.

“Keduanya, ia sebagai platform bagi isu-isu berkaitan dengan bangsa Melayu dalam aspek pendidikan, pembangunan, aktiviti ekonomi seperti juga Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

“Tapi bila Sanusi sebut Rumah Bangsa ini ada kepentingan, saya rasa beliau tak payah sentuh lah bab itu, tak payahlah perli-perli atau cakap lebih-lebih. Saya pun jarang sentuh bab Sanusi ini, malah hormatinya sebagai Menteri Besar tapi kalau dia dah terlebih sangat saya terpaksa cakap dia ego, sombong dan rasa dia kuat serta tak boleh dikalahkan di Kedah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×