GEORGE TOWN : Dakwaan bahawa cukai tanah di Pulau Pinang meningkat sehingga beribu kali ganda seperti dibangkitkan oleh beberapa pihak adalah tidak tepat kerana kadar tersebut ditentukan berdasarkan beberapa kriteria ditetapkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pengiraan cukai tanah dibuat berdasarkan empat kriteria utama iaitu kegunaan tanah, keluasan tanah, lokasi sama ada di kawasan bandar atau desa serta kadar cukai yang ditetapkan menerusi Kaedah-Kaedah Tanah Negeri Pulau Pinang yang diwartakan pada 11 September 2025.
“Bagi tanah yang diberi milik sebelum kemerdekaan khususnya yang dikenali sebagai Hak Milik Kelas Pertama (First Grade Grant), penentuan kadar cukai adalah berdasarkan kegunaan semasa tanah tersebut.
“Ini termasuk tanah yang kategori dan syarat nyata dinyatakan sebagai NIL dalam hakmilik. Oleh itu, pemilik tanah tertakluk kepada kadar yang telah diwartakan dan rayuan sepatutnya memberi tumpuan kepada sama ada penggunaan tanah telah ditentukan secara tepat,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan semakan kadar cukai tanah baharu berkuat kuasa 1 Januari lalu yang pertama sejak 1994, membabitkan 370,000 hak milik.
Susulan semakan itu, terdapat dakwaan daripada pelbagai pihak termasuk daripada seorang Ahli Parlimen DAP yang mendakwa berlaku kenaikan cukai beribu kali ganda sehingga membebankan pemilik tanah.
Kon Yeow berkata, semakan yang dilakukan mendapati cukai tanah yang dibayar sebahagian pemilik tanah terlibat adalah sangat rendah iaitu kurang daripada RM10 bagi tempoh lebih 30 tahun manakala peningkatan cukai yang berlaku selepas semakan 2026 berpunca daripada perubahan kegunaan, keluasan serta lokasi tanah sama ada berada di kawasan bandar atau desa.
“Sebagai contoh, jika keluasan tanah melebihi satu hektar dan digunakan untuk tujuan perniagaan atau industri, kadar cukai tanah akan meningkat dengan ketara berbanding kegunaan pertanian.
“Bagi tanah seluas satu hektar yang digunakan untuk perniagaan, kadar cukainya boleh mencecah RM32,500, manakala bagi kegunaan pertanian seperti tanaman buah-buahan hanya sekitar RM80 sehektar atau RM15 sehektar bagi padi,” katanya.
Beliau berkata, rekod Pejabat Tanah dan Galian menunjukkan terdapat kira-kira 230,000 hak milik tanah sebelum merdeka di Pulau Pinang yang didaftarkan sebagai Geran dan Geran Mukim.
Katanya, selepas semakan cukai tanah 2026, kerajaan negeri menetapkan bahawa penentuan kadar cukai bagi hak milik sebelum merdeka termasuk First Grade adalah berdasarkan kegunaan semasa tanah. – UTUSAN











