Cucu tetap anak orang, tidak sampai hati buat apa-apa kalau marah - Rosyam Nor - Utusan Malaysia

Cucu tetap anak orang, tidak sampai hati buat apa-apa kalau marah – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Rosyam Nor mengakui sambutan Aidilfitri kini membawa makna berbeza dalam hidupnya apabila lebih banyak diwarnai detik bersama enam orang cucu tersayang.

Menurut Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 59, di fasa sekarang, dia lebih menghargai pengalaman beraya sebagai datuk yang menanti kepulangan anak dan cucu untuk memeriahkan suasana Aidilfitri.

“Kalau dulu, setiap kali raya sayalah yang akan pulang ke rumah emak atau mentua. Sekarang keadaan sudah berubah. Saya pula yang menunggu anak-anak dan cucu balik ke rumah.

“Bila rumah itu penuh dengan suara cucu-cucu, itulah yang buat suasana raya terasa hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah pelakon KL Menjerit itu, walaupun persiapan raya tetap dilakukan setiap tahun, beliau kini lebih banyak menyerahkan urusan tersebut kepada isteri dan anak-anak.

Baginya, mereka lebih arif tentang trend semasa termasuk pemilihan baju raya serta perancangan kunjung-mengunjung sepanjang musim perayaan.

“Perancangan raya sebenarnya biasa sahaja. Orang rumah dan anak-anak yang uruskan semuanya.

“Mereka suruh pakai baju Melayu warna apa, saya pakai sahaja. Mereka ajak pergi rumah siapa, saya ikut sahaja,” katanya.

Namun di sebalik kemeriahan Aidilfitri, Rosyam tidak menafikan setiap kali tibanya Syawal, hatinya tetap terusik dengan kenangan terhadap insan tersayang yang telah pergi membuatnya  lebih menghargai masa bersama keluarga.

“Bila raya, kita pasti terkenang mereka yang sudah tiada. Tahun lepas kita masih nampak mereka, tetapi tahun ini sudah tiada. Perasaan itu memang sayu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Rosyam mengakui kehadiran enam cucunya menjadi pengubat hati dan sumber kegembiraan pada usia sekarang.

“Cucu ini lain. Mereka ini anak orang. Marah macam mana pun, kita tak sampai hati nak buat apa-apa.

“Lagi kita marah, lagi kita rasa sayang. Anak sendiri dulu boleh juga kita cubit, tetapi cucu ini lain rasanya,” katanya.

Tambah Rosyam, kehadiran cucu juga sering mengingatkan dirinya kepada kenangan ketika membesarkan anak-anak suatu ketika dahulu, namun ketika itu beliau terlalu sibuk dengan kerjaya.

“Dulu masa muda, kita terlalu sibuk cari nafkah dan kejar kerjaya. Banyak masa terlepas.

“Bila sekarang ada masa dengan cucu, kadang-kadang terdetik juga di hati ‘dulu aku tak buat pun semua ini dengan anak ‘,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN