SUNGAI GOLOK (THAILAND): Cubaan seorang lelaki meloloskan diri ke Malaysia selepas dipercayai membunuh isterinya di Pattani, gagal apabila dia diberkas polis dalam satu operasi khas di bandar sempadan ini, semalam.
Suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika berada di sebuah astaka di hadapan sebuah hotel terkenal di Jalan Charoen Khet, di sini selepas dipercayai bersembunyi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.
Jurucakap polis berkata, lelaki tersebut menjadi buruan selepas dipercayai menyerang isterinya sehingga maut di rumah mereka di Kampung Tujuh, Mukim Kamiyo, Daerah Mueang, Pattan pada 28 Februari lalu.
“Susulan kejadian itu, Mahkamah Wilayah Pattani mengeluarkan waran tangkap terhadap suspek pada 1 Mac lalu dan operasi memburunya dipergiat dengan kerjasama beberapa agensi keselamatan serta penduduk kampung.
“Hasil risikan terbaharu mendapati suspek muncul di sebuah astaka di hadapan hotel terkenal di Sungai Golok sebelum anggota polis bertindak menahannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Jurucakap polis itu berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai merancang melarikan diri ke Malaysia melalui laluan sungai yang kini cetek akibat musim panas.
Katanya, keadaan sungai yang semakin surut dipercayai mahu digunakan suspek untuk menyeberangi sempadan secara haram bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
“Suspek kemudian diserahkan kepada Polis Daerah Mueang Pattani untuk siasatan lanjut serta tindakan mengikut undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN











