CIMB Islamic, PTPTN jalin kerjasama galak amalan kewangan berdisiplin - Utusan Malaysia

CIMB Islamic, PTPTN jalin kerjasama galak amalan kewangan berdisiplin

AHMAD Shahriman Mohd. Shariff (dua dari kiri) bersama Mastura Mohd. Khalid (dua dari kanan) pada majlis pelancaran kempen “Setel PTPTN dengan CIMB” di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memeterai perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mempromosikan kesejahteraan kewangan dan tabiat pembayaran balik konsisten dalam kalangan peminjam.

Melalui kolaborasi itu, kempen “Setel PTPTN dengan CIMB” diperkenalkan bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2026, yang menawarkan peluang kepada peminjam memenangi hadiah terkumpul bernilai RM500,000 melalui akaun pelaburan DURIAN-i.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, pembiayaan pendidikan sering menjadi komitmen kewangan besar yang pertama bagi rakyat Malaysia dan pihaknya komited menyediakan penyelesaian praktikal.

“Melalui integrasi tawaran fleksibel seperti akaun DURIAN-i, kami mahu menjadikan perjalanan ke arah berdikari secara kewangan lebih mudah diakses, bermakna dan memberi ganjaran selain menggalakkan simpanan berdisiplin.

“Kami menyokong peminjam PTPTN dengan pengetahuan yang menggalakkan pembentukan kekayaan jangka panjang selaras dengan matlamat memajukan pelanggan dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif tersebut bertujuan merapatkan jurang antara obligasi hutang dan pengumpulan kekayaan, sekali gus menyokong anak muda Malaysia mengimbangi pembayaran balik pinjaman dengan langkah awal pelaburan masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid berkata, kempen tersebut merupakan platform terbaik untuk memastikan kelestarian dana PTPTN supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

“Peminjam yang memenangi hadiah tunai mendapat sokongan kewangan tambahan yang secara tidak langsung membantu mereka membayar balik pinjaman atau membuat simpanan.

“Setakat ini, PTPTN telah membantu lebih 4.27 juta peminjam dengan jumlah pengeluaran pinjaman melebihi RM77.63 bilion,” katanya. 

Peminjam yang membuat pembayaran balik secara digital melalui akaun DURIAN-i berpeluang memenangi penyelesaian pinjaman sehingga RM25,000 serta jongkong emas untuk memulakan perjalanan pelaburan mereka.

DURIAN-i merupakan akaun pelaburan patuh Syariah CIMB Islamic yang memenangi anugerah Produk Simpanan Islam Paling Inovatif 2024 oleh The Banker, di mana dana dilaburkan ke dalam aset mampan bank berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN