PERMATANG PAUH: Aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard bersedia menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berhubung dakwaan memfitnah beliau sebelum ini.
Menurutnya, tindakan undang-undang itu akan dimulakan selepas Aidilfitri walaupun beliau setakat ini belum menerima LOD daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkenaan.
“Setakat ini saya belum menerima LOD daripada beliau. Namun saya tetap akan menghantar LOD terhadapnya kerana menggelar saya sebagai seorang pemfitnah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh di sini hari ini.
Jumaat lalu, Mohamad memulakan tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan beliau dan pengurusan dua institusi agama iaitu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta Zakat MAINPP.
Selain Chegubard, tiga lagi individu dinamakan ialah Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan; Timbalan Ketua Pemuda Pas negeri, Muhammad Hafiz Alias; serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat merangkap ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.
Muhammad Fawwaz ketika ini masih mempertimbangkan untuk membalas LOD tersebut, manakala Muhammad Hafiz mahu pembetulan dibuat terhadap kandungan surat tuntutan berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd. Yusni memaklumkan beliau tidak akan menjawab LOD tersebut dan bersedia mempertahankan tindakannya.
Dalam pada itu, Chegubard berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya selepas Aidilfitri bagi menentukan sama ada kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.
Pada masa sama, beliau mendakwa akan membuat pendedahan lanjut berhubung isu yang melibatkan Mohamad termasuk dakwaan berkaitan pinjaman wang zakat melebihi RM10 juta yang didakwa telah dilupuskan. – UTUSAN










