Borang Lampiran A untuk tangguh deposit rawatan, bukan pengecualian bayaran

Borang Lampiran A untuk tangguh deposit rawatan, bukan pengecualian bayaran

Ubat tibi
DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan kemudahan Borang Lampiran A oleh warga asing hanya terpakai bagi kes-kes kritikal yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan khususnya melibatkan situasi hidup dan mati.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit warga asing terbabit bagaimanapun masih perlu membuat bayaran deposit sebaik sahaja dimasukkan ke wad.

Beliau berkata, Lampiran A itu juga tertakluk kepada penilaian Pegawai Perubatan Pakar atau Pengarah Hospital (untuk hospital tidak berpakar).

“Borang ‘Lampiran A’ ini hanya memberi penangguhan bagi bayaran deposit sementara rawatan resusitasi dan penstabilan dibuat segera supaya pesakit tidak mati.

“Ini tidak bermaksud mereka dikecualikan daripada dikenakan sebarang bayaran. Apabila pesakit sudah stabil dan dimasukkan ke wad, proses pembayaran deposit tetap akan dibuat. Amalan ini terpakai di semua Jabatan Kecemasan dan Trauma di fasiliti KKM seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Kembara Beraya bersama Cik Era di IOI City Mall, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan di media sosial kononnya warga asing yang dirujuk kes kritikal di hospital kerajaan mendapat pengecualian bayaran dengan mengunakan alasan tiada pasport.

Katanya, mengikut amalan biasa semua pesakit warga asing perlu membuat bayaran deposit bagi Kelas 3 sebanyak RM1,400 (perubatan) dan RM2,800 (pembedahan) sebelum dimasukkan ke Wad.

“Bagi pesakit pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pula, mereka akan dikenakan bayaran 50 peratus daripada kadar deposit.

*Bayaran deposit hanya dikecualikan kepada warga asing yang mempunyai Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Asing (SPIKPA) dan Refugee Medical Insurance (REMEDI).

“Jika pesakit tidak mempunyai insurans atau wang yang mencukupi, pesakit akan diminta berhubung dengan waris (keluarga atau rakan-rakan) untuk menyediakan jumlah deposit tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN