PETALING JAYA: BMW Malaysia mempertingkatkan standard pasaran kenderaan mewah terpakai di negara ini menerusi pengenalan program BMW Premium Selection – Reborn for You yang menawarkan jaminan kualiti lebih ketat dan telus.
Program yang diperbaharui itu bertujuan memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan dengan memastikan setiap unit terpakai yang diperakui memenuhi piawaian tinggi BMW dalam aspek kejuruteraan dan keselamatan.
Antara tarikan utama program ini adalah tawaran perlindungan waranti lanjutan sehingga tujuh tahun (tertakluk kepada terma), selain pemeriksaan menyeluruh 360 darjah oleh juruteknik bertauliah menggunakan peralatan diagnostik canggih.
BMW Malaysia dalam satu kenyataan berkata, setiap kenderaan di bawah program tersebut disertakan dengan rekod servis dan sejarah perbatuan yang sah serta didokumenkan oleh pusat servis BMW yang diluluskan.
“Bagi model terpakai yang lebih baharu, pelanggan masih boleh menikmati baki pakej Servis dan Pembaikan Inklusif BMW (BSRI) yang merangkumi servis berkala serta waranti standard, sama seperti memiliki kenderaan baharu,” katanya.
Selain model enjin pembakaran dalaman (ICE) popular seperti BMW 3 Series dan X Series, program ini turut merangkumi varian elektrik sepenuhnya (BEV) daripada siri BMW i termasuk model iX, iX1, iX2 serta sedan elektrik i4, i5 dan i7.
Bagi memudahkan proses pemilikan, BMW turut menyediakan penilaian profesional untuk urusan tukar-beli kenderaan, termasuk perkhidmatan penilaian jarak jauh bagi pelanggan yang mempunyai kekangan masa.
Program ini kini tersedia di semua pengedar sah BMW Premium Selection di seluruh negara dengan tawaran harga kompetitif serta pilihan pembiayaan fleksibel mengikut keperluan gaya hidup pelanggan. –UTUSAN










