Bina jenama sendiri melalui program IPP ASIA - Utusan Malaysia

Bina jenama sendiri melalui program IPP ASIA

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial digalakkan membina jenama dan produk sendiri menerusi pelaksanaan Influencer Partnership Program (IPP) yang diperkenalkan oleh All Star Influencers Award (ASIA).

Pengerusinya, Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, program itu memberi peluang kepada golongan pempengaruh untuk menghasilkan serta memasarkan produk mereka sendiri sekali gus membantu mereka menjadi usahawan muda yang lebih berdaya saing.

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan pempengaruh hanya mempromosikan atau membuat ulasan produk milik pihak lain, namun inisiatif baharu itu membolehkan mereka memiliki produk sendiri serta menjana kestabian kewangan bersama.

“Melalui program ini, kami memilih pempengaruh yang berpotensi untuk menghasilkan dan menjual produk mereka sendiri. ASIA bertindak sebagai badan induk yang membantu dari segi pembangunan produk sehingga pemasaran.

“Apabila mereka mempunyai jenama sendiri, mereka dapat membina sumber kewangan yang lebih kukuh dan mampan. Keuntungan pula dikongsi bersama. Ini adalah usaha kami untuk membantu anak muda berani berniaga dan membina jenama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar All Star Influencers Award (ASIA) bersama 40 anak yatim dan 20 pelajar tahfiz yang turut dihadiri lebih 100 pempengaruh tempatan di sini.

Abd. Rahman berkata, kejayaan pempengaruh dan selebriti popular, Sally Whoo menerusi jenamanya membuktikan potensi besar program tersebut apabila bermula dengan hanya dua produk sebelum berjaya menjana jualan mencecah jutaan ringgit.

“Rahsia kejayaannya ialah rajin mempromosikan produk sendiri termasuk aktif melakukan sesi siaran langsung bagi meningkatkan jualan.

“Program julung kali seumpamanya dilaksanakan ini adalah bagi membantu pempengaruh mengurus kewangan demi kestabilan hidup pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abd. Rahman berkata, pihaknya turut merancang memperluaskan program ASIA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan lebih 20 negara Asia sejak 2023.

Katanya, program promosi digital yang dilaksanakan sebelum ini berjaya merekodkan lebih 1.3 bilion tontonan di TikTok selain kira-kira 600 juta tontonan di Instagram tahun lalu.

“Untuk tahun ini, kami memberi fokus membantu mempromosikan industri peTahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pelbagai program dan acara antarabangsa,” katanya.

Antara program yang dirancang termasuk penganjuran kejohanan tinju antarabangsa di Dubai yang melibatkan 10 negara selain acara bola sepak persahabatan Malaysia-Indonesia, kejohanan snuker dan beberapa program sukan lain.

Beliau berkata, semua persiapan bagi kejohanan tinju tersebut telah siap sepenuhnya termasuk latihan para peserta, dengan jadual pertandingan dijangka berlangsung pada 5 April ini di Dubai.

“Persiapan sudah dilakukan dan mendapat sambutan yang baik. Kini hanya menunggu masa untuk pertandingan berlangsung,” katanya.

Sementara itu, majlis berbuka puasa yang diadakan turut bertujuan mengeratkan hubungan antara pempengaruh dan masyarakat selain menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

“Program ini bukan sekadar menghimpunkan pempengaruh tetapi juga memberi peluang kepada mereka berkongsi rezeki dan menanam rasa keprihatinan kepada anak-anak yatim dan pelajar tahfiz,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN