KUALA LUMPUR: Gara-gara selalu dikaitkan dengan konflik rumah tangga suaminya, Ahmad Aslam dan madunya, Marissa Dania, lsteri pertama Aslam, Umisya Mazlan tampil membuka mulut untuk membersihkan nama.
Umisya menegaskan dia terpaksa memberikan penjelasan apabila dia dan anak-anaknya sering difitnah dan menerima cacian.
“Saya, Umisya, isteri pertama Aslam, yang tidak ada kena mengena sama sekali dengan isu yang berbangkit yang digembar gemburkan orang ramai atau keluarga pihak sana.
“Saya sama sekali sudah serik dan tidak mahu masuk campur dengan hal peribadi isu rumah tangga suami saya dengan pihak sana.
“Tetapi, selepas banyak sangat fitnah dan kata-kata hinaan yang saya, keluarga dan anak-anak kena, sehinggakan saya yang tidak patut dipersalahkan sama sekali, bahkan anak saya yang masih kecil dan tidak berdosa dalam hal ini, terkena tempias,” tulisnya dalam satu hantaran di Threads.
Umisya berkata dia pernah menghalang perkahwinan antara Ahmad Aslam dan Marissa dan meminta keluarga Marissa membuat laporan polis namun usaha itu berkahir gagal.
“Pertama sekali, daripada mereka belum kawin lagi, banyak nasihat dan usaha saya lakukan untuk mengelak hal buruk terjadi.
“Saya berjumpa berkali-kali dengan pihak ketiga dan keluarganya. Bermacam-macam cara saya lakukan, sebagai isteri dan wanita yang masih memikirkan maruah sesama wanita.
“Sehinggakan saya meminta untuk pihak sana buat laporan polis. Saya sertakan maklumat dan sebagainya untuk pihak sana. Semuanya disebabkan untuk menghalang suami saya mengganggu anak mereka. Selebihnya, saya tidak pasti usaha itu dilakukan atau tidak,” ujarnya.
Umisya dalam masa sama mendedahkan tindakan mempertahankan rumah tangga adalah kerana suaminya yang tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Dia juga tidak menolak pernah minta dilepaskan sebagai isteri, bagaimanapun terpaksa bertahan dalam perkahwinan untuk anak-anak.
“Pada awalnya saya bantah apabila mendapati mereka berkahwin, saya. Saya mahu bercerai, tetapi dihalang keluarga mentua. Saya dinasihatkan berjumpa kaunselor dan penasihat sebelum saya buat keputusan.
“Oleh sebab itu, saya cuba yang terbaik, demi anak-anak saya yang mana saya masih memandang kebaikan yang dibuat suami. Disebabkan itu, saya beri peluang dengan cuba untuk menerima poligami ini,” katanya.
Umisya juga mendedahkan dia dan Aslam pernah bercerai sebelum suaminya bernikah dengan Marissa, namun kembali rujuk selepas itu.
“Saya pernah bercerai dengan suami sebelum mereka kahwin. Saya dilafaz taklik yang mana disebutkan, saya diceraikan kalau bercakap pasal itu. Ini ketika hubungan (suami dan Marissa) terjadi.
“Disebabkan saya langgar taklik itu, maka, kami berpisah. Bukan disebabkan hal lain atau diceraikan seperti yang diperkatakan dalam media sosial,” jelasnya. – UTUSAN










