Belasah anak JL Fara, bekas tunang didenda RM1,500

Belasah anak JL Fara, bekas tunang didenda RM1,500

SYED Zamri Syed Zainuddin (kanan) semasa menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 ke atas seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang wanita yang juga bekas tunangnya di sebuah rumah, bulan lalu.

Syed Zamri Syed Zainuddin, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Putri Fasha Felisa Mohd. Izhan, 19, di sebuah rumah di Taman Ehsan di sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 21 Februari lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab. Rahman.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atas pengakuan salah tertuduh selain memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan. Syed Zamri membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Mengikut fakta kes, Putri Fasha Felisa berada di rumah sewa Syed Zamri yang merupakan tunangnya di Taman Ehsan di sini, kira-kira pukul 5.30 petang pada 21 Februari lalu.

Semasa berada di rumah itu, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan Putri Fasha Felisa mengalami kecederaan lebam pada bahagian lengannya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hanya kerana enggan berbuka puasa bersama, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga anak kepada pemilik restoran terapung terkenal, JL Fara Houseboat (JL Fara), cedera pada beberapa anggota badan selepas dipercayai dibelasah bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah rumah. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN