Bekerja dari rumah dikecualikan petugas barisan hadapan, sektor pendidikan

Bekerja dari rumah dikecualikan petugas barisan hadapan, sektor pendidikan

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam buat masa ini tidak membabitkan petugas barisan hadapan dan sektor pendidikan negara.

Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.

“Tidak, waktu ini tidak (membabitkan sektor pendidikan dan kesihatan). Tidak melibatkan dua sektor berkenaan yang bersifat ‘frontline’ (barisan hadapan),” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat sebagai antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.

Beberapa negara ASEAN termasuk Thailand, Vietnam dan Filipina telah mengumumkan langkah berjaga-jaga antaranya BDR bagi mengurangkan penggunaan tenaga selain menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan hibrid susulan konflik di Asia Barat.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini juga telah menerima laporan awal berhubung cadangan berkenaan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

“Perdana Menteri minta supaya beberapa perkara disusuli dengan lebih rapi dan dibentangkan untuk dibuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang, akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, ditanya sama ada cadangan BDR turut akan diperluas kepada sektor swasta, beliau memaklumkan bahawa terdapat syarikat yang mengamalkan inisiatif itu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Bagi pihak kerajaan, memandangkan jumlah penjawat awam adalah jumlah yang besar dan signifikan, maka pada waktu ini penyelarasan itu perlu dilakukan di peringkat penjawat awam dahulu. Tapi tidak menghalang sektor swasta daripada melaksanakannya, sekiranya mereka merasakan ada keperluan pada waktu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN