Di celah-celah kepulan asap ayam bakar itu, Rahim berdiri kaku di tengah-tengah lautan manusia. Di tangan kanannya menjinjing dua plastik nipis berwarna merah berisi kuih-muih dan popia.
Di sebelah kiri, tangannya menjinjing dua plastik nasi dan lauk-pauk. Jari-jemarinya kebas. Dia berasa terkilan kerana tidak membawa beg besar atau pun bakul. Silap percaturan, jika plastik itu koyak dirempuh oleh orang yang lalu-lalang di bazar itu pasti semuanya akan berhamburan jatuh ke tanah.
Cuaca yang panas itu menyebabkan tekak Rahim berasa haus. Justeru, Rahim baru tersedar bahawa air katira kegemaran isterinya masih belum dibeli lagi. Dia masih ingat pesanan isterinya.
Semasa bersahur sudah diingatkan berkali-kali untuk membeli air katira. Jika tidak dibeli alamat merajuklah isterinya itu. Jika tidak dituruti mungkin dia akan bersahur dengan buah tamar sahaja kerana mogok tidak dapat minum air katira.
Pukul 6.45 petang adalah waktu yang paling bahaya di Bazar Ramadan Kesuma. Ia bukan kesesakan lalu lintas tetapi terpaksa meredah lautan manusia tanpa mengira kaum demi mencari juadah mengikut selera masing-masing.
Bahkan, ada yang sanggup beratur panjang untuk menikmati popia basah atau ayam golek yang pastinya menggamit selera pelanggan di Bazar Kesuma.
Bunyi sudip berlaga dengan kuali dan suara peniaga menjerit-jerit memanggil pelanggan seperti muzik latar ditambah pula dengan enjin kenderaan yang menderu-deram membingitkan gegendang telinga. Suasana jadi tegang apabila ada pelanggan yang berbalah dengan peniaga kerana menjual dengan harga yang tidak masuk akal atau yang tidak mahu beratur menunggu giliran.
“Rahim! banyaknya beli sampai tak nampak aku.” Tegur seorang lelaki yang sedang mendukung anak.
“Oh, kau Malik. Baru sampai ke?” Balas Rahim tersengih.
Malik juga tersengih. Isterinya pula hanya meninjau-ninjau keadaan di sekeliling melihat gerai-gerai di situ tanpa menunjukkan minat untuk berbual.
“Okaylah. Aku nak cari air katira. Kalau lambat habis pula. Jumpa esok di pejabat.” Kata Rahim lagi lantas berlalu pergi.
Perbualan terhenti. Mereka membawa haluan masing-masing. Mata Rahim melilau-lilau mencari gerai menjual air. Dia kemudian singgah di sebuah gerai di hujung Bazar
Kesuma untuk membeli air katira.
Namun, dia terpaksa beratur kerana ramai pelanggan yang ingin membeli air di situ.
Di hadapannya ada sepuluh orang dan dia adalah pelanggan yang kesebelas. Bukan dia tidak mahu ke gerai lain tetapi hanya gerai itu sahajalah yang menjual air katira.
Mahu atau tidak dia terpaksa akur.
Sambil melihat gelagat orang ramai, mata Rahim singgah kepada dua orang perempuan yang bersolek tebal dan memakai baju kebaya ketat.
Kedua-dua perempuan itu berniaga kuih-muih. Senyuman sentiasa dibibir. Melihatkan wajah mereka yang cantik menyebabkan beberapa pelanggan lelaki menyerbu
gerai itu.
“Agaknya kuih-kuih di sini manis-manis belaka macam Cik Adik berdua?” Usik seorang lelaki muda sambil mengenyitkan mata.
“Belilah bang. Kalau abang beli dua, percuma satu keria.” Balas perempuan itu sambil tersenyum.
“Betulkah? Berapa harga dua kuih ini?” Tanya lelaki muda itu lagi sambil menunjukkan dua bekas talam keladi.
“Satu bekas RM5 kalau dua RM10. Untuk abang percuma satu keria.”
Lelaki muda itu menganggukkan kepala bersetuju untuk membeli kedua-dua kuih tersebut. Rahim hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja.
Harga sebekas kuih talam keladi yang dipotong empat bahagian langsung tidak munasabah. Terlalu mahal. Lebih baik tidak makan kuih jika harga sebegitu.
Namun, itulah strategi pemasaran dengan sanggup mengeksploitasi perempuan cantik semata-mata untuk melariskan jualan mereka.
Rahim mengitari kawasan di sekeliling. Ada peniaga yang tidak memakai penutup kepala, berselipar, tidak memakai apron, berkuku panjang malah ada juga yang menyediakan makanan tanpa mempedulikan kebersihan.
Disebabkan rambang mata kebanyakan pelanggan membeli juadah dengan banyak dan akhirnya berlaku pembaziran. Lebihan makanan tersebut dibuang ke dalam tong sampah tanpa rasa bersalah.
Rahim juga sedar, sempena bulan Ramadan al-Mubarak banyak gerai di Bazar Kesuma didirikan. Umpama cendawan tumbuh selepas hujan yang kemunculannya hanya setahun sekali sahaja.
Bahkan, pada bulan ini para peniaga akan cuba mencari keuntungan dengan menjual pelbagai juadah kepada para pelanggan. Para peniaga perlu memohon permit untuk menyewa satu lot tapak gerai di bazar.
Jika tapak yang dipilih itu berada di lokasi yang strategik, pastilah peniaga akan mendapat keuntungan yang besar.
Namun, ada juga peniaga muncul secara tiba-tiba di bazar Kesuma yang cuba-cuba memasak untuk mendapatkan keuntungan padahal juadah yang dijual itu tidak sedap langsung atau tidak menjadi.
Jika hal itu terjadi, pelanggan yang pernah ‘terkena’ pasti tidak akan datang lagi ke gerai tersebut.
“Bagi sebungkus air katira.” Kata Rahim sambil meletakkan plastik berisi kuih-muih di tepi balang.
Peniaga itu hanya menganggukkan kepala. Rahim mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula membuat pembayaran melalui QR setelah melihat tanda harga di hadapan balang itu.
Aduh, air katira sudah naik harga. Tahun lepas baru RM5 tahun ini sudah jadi RM6. Omel Rahim di dalam hati.
Peniaga itu menyuakan bungkusan air katira itu kepada Rahim. Meskipun wajah Rahim menunjukkan tanda tidak puas hati. Namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana harga telah dipamerkan pada setiap balang di situ.
Rahim berkira-kira pada masa akan datang dia patut melihat tanda harga sebelum membelinya.
Rahim berjalan dengan bebanan yang berat menuju ke arah motosikal yang diparkir di tepi jalan besar. Dalam situasi sebegini, dia perlu bijak memilih bermotosikal sahaja daripada berkereta.
Keadaan jalan raya yang sesak dan sempit amat sukar untuk dia mencari parkir.
Dua hari lalu ketika dia mengunjungi Bazar Kesuma dengan isteri dan anak-anaknya, dia hampir pitam kerana terpaksa menapak jauh dan memakir kereta.
Membawa isteri dan anak-anaknya turut menimbulkan masalah. Anak-anaknya yang seramai empat orang itu semuanya masih kecil.
Yang sulung baru berumur 8 tahun manakala tiga lagi anaknya berumur dalam lingkungan 7 tahun dan 6 tahun. Yang bongsu berumur 7 bulan. Dia terpaksa menggendong anaknya dan memegang seorang anaknya yang berumur 6 tahun manakala kedua-dua anaknya yang lain dipegang isterinya.
“Patutnya kita tak boleh bawa budak-budak ini ke bazar, bahaya!” Rungut Rahim kepada isterinya.
“Habis, budak-budak ini nak tinggal dengan siapa kalau tidak bawa?” Kata isterinya pula.
“Di tengah lautan manusia ini apa-apa sahaja boleh berlaku. Kalau kita alpa habislah kita. Masa nilah penculik kanak-kanak bermaharajalela.
“Lagi pun kalau terkena minyak panas atau sup panas atau terlanggar balang air dan pecah, kita juga yang disalahkan. Lepas ini tak payahlah bawa anak-anak. Biar abang saja yang pergi.” Panjang lebar rungutan Rahim.
Isterinya hanya menjeling. Kalau anak-anak tidak dibawa alamatnya dia dan anak-anak terpaksa tinggal di rumah atau terperuk di dalam kereta.
Tetapi apa yang dikatakan oleh suaminya itu ada betulnya. Pada waktu sesak inilah ada sahaja bahaya yang bakal mendatang.
“Ayah, nak beli ayam goreng.” Pinta anaknya yang berumur 7 tahun.
“Ayah, Mirul hendak beli nasi tomato.” Kata pula anaknya yang sulung.
“Ayah ada mercun. Beli, ayah.” Sampuk anaknya yang berumur 6 tahun manakala sibungsu pula merengek kerana panas dan tidak selesa berada di tengah terik matahari yang berbahang itu.
Semuanya memeningkan kepala Rahim. Hendak singgah dari gerai ke gerai lain turut terbantut.
Akhirnya, semua anaknya diseret seperti lembu dan masuk ke dalam kereta tanpa membeli apa-apa.
“Rahim, dah nak balik?” Soal satu suara dari arah belakang menyebabkan Rahim Tersentak.
Rahim menoleh, berkerut dahinya cuba memikirkan sesuatu. Dia langsung tidak ingat siapa yang menegurnya.
“Akulah, Mat Nor kawan sekolah kau.”
“Oh, lama kita tak jumpa. Sudah dekat sepuluh tahun! Kau tinggal di sini juga?” Balas Rahim sambil tersengih.
Benarlah, di bazar bukan sahaja menjual pelbagai makanan tetapi turut menjual kenangan pada masa lalu. Di bazarlah kadang-kala kita akan terserempak atau terjumpa dengan rakan-rakan lama, jiran, orang kampung, bekas kekasih, bekas tunang atau guru-guru yang telah berpencen dan pernah mengajar kita suatu masa dahulu.
Bazar menjadi medan pertemuan yang tidak disangka-sangka. Malah di bazar jugalah hubungan silaturahim itu dihubungkan kembali. Betapa ‘dunia ini kecil’ kebetulan bertemu kembali tanpa disangka-sangka.
Rahim meminta izin untuk segera pulang ke rumah sementelah waktu berbuka juga sudah semakin hampir. Perbualan tamat begitu sahaja dan perlumbaan untuk pulang ke rumah pula yang harus dilalui.
Raga motosikal Rahim penuh dengan pelbagai makanan. Bungkusan air katira pula disangkut di tangan. Rahim mahu segera sampai ke rumah.
“Ayah balik!” Jerit anak sulungnya menyambut kepulangan Rahim.
“Air katira ada bang?” Soal isterinya tanpa mempedulikan enjin motosikal masih hidup.
Rahim menyuakan air katira dan disambut mesra oleh isterinya dengan senyuman manis. Anak-anaknya berebut-rebut mengambil plastik makanan lantas membawa masuk ke dalam rumah. Rahim memakir motosikalnya dengan cermat. Dia bergegas ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
Ketika dia keluar dari bilik mandi, dia melihat isteri dan anak-anaknya sedia menunggu di meja makan dengan wajah berseri-seri.
Azan Maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka telah tiba. Barangkali Bazar Kesuma pasti lengang dengan kehadiran para pelanggan yang telah pulang ke rumah masing-masing untuk menikmati juadah berbuka. Rahim dan keluarga makan dengan penuh selera.
Kira-kira pukul 12 malam, tiba-tiba sahaja anak sulungnya muntah-muntah. Diikuti oleh isterinya pula yang cirit-birit. Anak keduanya pula tiba-tiba sahaja diserang demam panas.
Situasi ini membuatkan Rahim panik. Rahim sendiri turut berasa senak perut yang memulas-mulas. Namun, dia masih boleh bertahan meskipun peluh merinik di dahinya dengan banyak.
“Apa sudah jadi ini?” Tanya Rahim cemas.
“Entahlah bang. Sudah lima kali saya berulang-alik ke tandas. Itu, anak sulung kita muntah-muntah di singki dapur. Tolong abang, sudah tak tahan lagi.” Jawab isteri Rahim.
Rahim terus mencapai kunci kereta lantas mengarahkan isteri serta anak-anaknya masuk ke dalam kereta. Dia juga tidak faham apa yang sedang berlaku. Rahim terus memandu hingga tiba di hospital.
Di wad kecemasan itu, isteri dan dua orang anaknya disorong ke Zon Kuning. Rahim membawa dua lagi anaknya dan duduk termenung di atas kerusi di luar wad kecemasan.
Dia cuba mengingati apa yang dimakan oleh isteri dan anak-anaknya. Beberapa jam kemudian, dia terdengar namanya dipanggil untuk masuk ke wad kecemasan itu.
“Isteri dan anak-anak Encik ini mengalami keracunan makanan. Sebenarnya apa yang mereka makan?” Soal seorang doktor perempuan kepada Rahim.
“Tadi masa makan semua okay. Makanan itu saya beli di Bazar Kesuma.” jawab Rahim sedih.
“Oh, makanan bazar. Sebenarnya kita tidak tahu penyediaan makanan di gerai-gerai itu. Cuma encik kena hati-hati lain kali.” Kata doktor sambil berlalu pergi.
Rahim hanya menganggukkan kepala perlahan-lahan.
Selepas kejadian itu dia tidak lagi berbelanja di bazar untuk membeli makanan. Dia akan pulang ke rumah dan membantu isterinya memasak.
Dia belajar melalui kesilapan yang dilaluinya.
Memasak di rumah lebih jimat dan tidak membazir bahkan dia berasa senang hati kerana masakan itu datangnya dari air tangan isteri dan sudah tentu terjamin kebersihannya.
Cukuplah selama dua hari isteri dan anak-anaknya terpaksa bermalam di katil hospital. Bazar Kesuma tetap ada yang paling penting Rahim perlu bijak menjadi seorang pelanggan. -UTUSAN










