Bapa Zayn Rayyan tagih bantuan tampung kos guaman isteri - Utusan Malaysia

Bapa Zayn Rayyan tagih bantuan tampung kos guaman isteri

ZAIM Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa kepada Allahyarham Zayn Rayyan merayu bantuan orang ramai bagi mengumpul dana kira-kira RM65,000 bagi menampung kos guaman isterinya, Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Tinggi.

Menerusi hantaran Instagram Zaim Ikhwan Zahari, dia mengakui terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi sejak kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan yang telah digunakan setakat ini dianggarkan melebihi RM200,000 melibatkan proses perundangan.

Katanya, kos yang terlibat sangat tinggi dan di luar kemampuan mereka sekeluarga untuk ditanggung sendiri.

“Saya merayu kepada orang ramai untuk membantu menghulurkan sumbangan demi mendapatkan keadilan buat seluruh keluarga kami,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Ismanira kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan hingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Syahliza Warnoh menjatuhi Ismanira hukuman penjara selama lima tahun selepas didapati bersalah atas kesalahan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Zaim Ikhwan berkata, setiap sumbangan yang diberikan, sama ada kecil atau besar, amat dihargai dan disifatkan sebagai sokongan bermakna kepada mereka sekeluarga.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa sepanjang keluarga mereka berdepan ujian tersebut.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN