IPOH: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 7A, namun memperoleh 1D dalam subjek Bahasa Inggeris hampir meranapkan cita-cita Khaikal Jaafar, seorang pelajar Orang Asli untuk bergelar pendidik.
Dorongan berterusan Penolong Pengurus Jabatan Kawalan Kredit Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) membuka jalan untuk Khaikal melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM).
Khaikal, 21, dia bersyukur kerana terpilih dalam Program Anak Angkat Cikgu Saarani semasa di sekolah menengah.
“YBUDR menasihatkan saya menyambung pengajian peringkat Asasi Sastera-Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) selama setahun.
“Menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU) Prihatin dengan bantuan sekali bayar sebanyak RM1,500, saya dapat menyambung pengajian di USAS. Mulanya saya hampir berputus asa kerana perlu mengambil subjek Bahasa Arab.
“Namun, dorongan YBUDR membuatkan saya berjaya mencatat keputusan cemerlang 3.95 dalam peperiksaan keseluruhan,” katanya.
Anak muda dari Kampung Pos Raya, Simpang Pulai itu berkata, sebelum menyambung pengajian di USM, dia bekerja di ladang di Cameron Highlands, Pahang selama beberapa bulan.
“Ayah saya, Jaafar Yok Tah Toh, 62, daripada suku Temiar hanya bekerja kampung dengan pendapatan RM600 hingga RM700 sebulan perlu menanggung ibu, Rohani Uda, 50, daripada suku Semai yang tidak bekerja, selain lima adik beradik lain.
“Saya percaya Kerajaan Negeri Perak mengutamakan pendidikan tidak mengira kaum termasuk Orang Asli.
“Saya tidak menoleh kebelakang apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian di USM iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) dengan Kepujian, dengan mencatat keputusan cemerlang anugerah dekan bagi setiap semester setakat ini,” katanya.
Katanya, bantuan berterusan daripada YBUDR berbentuk wang sara RM150 sebulan dan Jakoa yang menampung yuran pengajian dan keperluan pengajian, mendorongnya terus belajar bersungguh-sungguh.
“Sememangnya sejak kecil saya memasang impian untuk menjadi seorang guru. Sebaiknya, ingin mengajar anak negeri sendiri dengan penuh dedikasi supaya dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
“Selain itu, lebih ramai Orang Asli menjawat jawatan profesional kelak selain memastikan pelan Perak Sejahtera 2030 tercapai,” katanya.
Bantuan kerajaan negeri itu menepati Flagship Kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu ‘Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat’ menerusi ‘1 Keluarga 1 Ijazah’ dan Flagship Ke-18 iaitu ‘Santuni Orang Asli’, cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan. – UTUSAN











