Bantuan bakul makanan bantu warga emas sambut Aidilfitri - Utusan Malaysia

Bantuan bakul makanan bantu warga emas sambut Aidilfitri

JAMILAH Zakaria (tengah) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada Noorkiah Jaafar pada Program Transformasi Kasih Wanita Perak 2026 di Taman Kledang Jaya di Ipoh. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penerima bantuan bakul makanan sempena Aidilfitri menerusi Program Serahan Sumbangan Bakul Makanan Asnaf Transformasi Kasih Wanita Perak 2026 bersyukur menerima bantuan tersebut sempena hari raya.

Noorkiah Jaafar, 70, dari Manjoi berkata, bantuan tersebut merupakan kali pertama diterimanya dan amat bermakna buat dirinya yang tinggal bersama adiknya.

Menurutnya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu mereka membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Saya bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini. Ini kali pertama saya dapat bantuan seperti ini.

“Bantuan ini memang sangat membantu, tambahan pula sekarang sudah hampir hari raya,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Dewan Komuniti Taman Kledang Jaya di sini.

Noorkiah berkata, faktor usia serta masalah kesihatan saraf yang dialaminya menyebabkan dia tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan bagi menambah pendapatan keluarga.

Katanya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan yang diterima bagi meneruskan kehidupan seharian.

“Saya sudah berumur 70 tahun dan mengalami sakit saraf, jadi memang tak bekerja sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria berkata, sebanyak 20 bakul makanan diagihkan kepada golongan asnaf menerusi program berkenaan yang dianjurkan bagi membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Program turut mendapat kerjasama beberapa pihak termasuk agensi berkaitan yang tampil menyumbang bagi meringankan beban penerima.

“Sumbangan bakul makanan tersebut disalurkan menerusi Yayasan Bina Upaya dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk),” katanya.

Ujarnya, program berkenaan melibatkan peruntukan kira-kira RM5,000 termasuk kos dekorasi rumah yang disumbangkan sepenuhnya oleh Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN