AS-Israel serang Iran - Utusan Malaysia

AS-Israel serang Iran

KEPULAN asap kelihatan di ruang udara Teheran susulan serangan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Israel – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran dengan membedil lokasi-lokasi utama di ibu negara ini.

Serangan itu berlaku susulan keengganan Iran untuk tunduk dengan tuntutan AS mengenai program nuklear dan peluru berpandu.

Presiden AS, Donald Trump mendakwa, matlamat Washington adalah untuk menghapuskan ‘ancaman yang akan berlaku’ daripada Iran manakala Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menggambarkan tindakan itu sebagai serangan pencegahan.

“Tentera AS memulakan operasi tempur besar-besaran di Iran. Kami akan memusnahkan peluru berpandu dan meruntuhkan industri peluru berpandu mereka.

“Ia akan dimusnahkan sepenuhnya sekali lagi. Kami akan memusnahkan tentera laut mereka,” kata Trump dalam mesej video yang disiarkan di laman media sosialnya semalam.

Trump menggesa Iran menyerah diri termasuk Pengawal Revolusi elit yang ditugaskan untuk melindungi kerajaan yang dikendalikan ulama.

“Kepada Pengawal Revolusi Islam, angkatan bersenjata dan pihak polis, saya katakan malam ini anda mesti meletakkan senjata dan diberikan imuniti sepenuhnya atau sebagai alternatif, menghadapi kematian,” kata Trump.

Serangan itu dilakukan ketika umat Islam berpuasa lantas mencemar kesucian Ramadan.

Menurut laporan The New York Times, pegawai AS mengesahkan serangan ke atas ibu negara Iran yang turut berlaku berhampiran pejabat pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.

Media Israel melaporkan percubaan untuk membunuh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian semasa serangan itu dan tidak menolak kemungkinan Khamenei turut menjadi sasaran.

Sumber mendakwa, Khamenei tidak berada di Teheran dan dipindahkan ke lokasi selamat.

Televisyen Kerajaan Iran juga melaporkan, Pezeshkian berada dalam keadaan selamat manakala agensi berita Fars berkata, tujuh hentaman peluru berpandu dilaporkan di daerah Keshvardost dan Pasteur.

Tentera Israel turut mendakwa peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran dikesan menuju ke arah negara itu mencetuskan siren amaran di beberapa kawasan.

Seorang pegawai pertahanan Israel berkata, operasi ‘Lion Roar’ dilancarkan selama beberapa bulan dengan kerjasama Washington dan tarikh serangan diputuskan beberapa minggu lalu.

Iran, Iraq dan Israel menutup ruang udara kepada penerbangan awam sebaik sahaja serangan bermula sementara Kedutaan AS di Qatar serta Bahrain menggesa rakyat AS untuk berlindung.

Iran menyasarkan pangkalan udara AS di Asia Barat, termasuk Al-Udeid (Qatar), Al-Aslam (Kuwait), Al-Dhafra (UAE) dan Armada Kelima (Bahrain).

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Israel melancarkan serangan terhadap Iran yang disifatkan sebagai satu percubaan jahat untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung ketika ini.

Anwar berkata, tindakan tersebut yang turut disertai campur tangan ketenteraan AS, berisiko membawa Asia Barat ke ambang malapetaka besar sekiranya ketegangan terus memuncak tanpa penyelesaian diplomatik.

Katanya, perkembangan itu juga berpotensi mengheret negara-negara lain ke dalam konflik yang mungkin sukar dibendung sekiranya tidak dikendalikan dengan segera.

“Saya menggesa AS dan Iran supaya memilih jalan diplomasi sebagai laluan keluar daripada krisis ini, bukannya terus meningkatkan ketegangan.

“Komuniti antarabangsa juga perlu bertindak segera dan tanpa berat sebelah,” katanya.

Dalam pada itu, dua pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dalam penerbangan antarabangsa ke Doha dan Jeddah terpaksa berpatah balik dan dilencongkan semula ke destinasi selamat.

Penerbangan MH160 dari Kuala Lumpur ke Doha dan MH156 dari Kuala Lumpur ke Jeddah yang berlepas kelmarin, masing-masing berpatah balik ke Kuala Lumpur dan dilencongkan ke Chennai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×