Alif Satar kongsi maksud nama anak keempat, ‘Fajar yang mulia’ - Utusan Malaysia

Alif Satar kongsi maksud nama anak keempat, ‘Fajar yang mulia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Alif Satar, berkongsi makna indah di sebalik pemilihan nama anak keempatnya yang dilahirkan pada hari kedua Syawal.

Alif atau Muhammad Alif Mohd. Satar, 35, memilih nama Aleyya Fajr yang membawa maksud ‘fajar yang mulia’, bertepatan dengan waktu kelahiran puterinya itu.

“Kamu hadir tepat pada waktu yang sangat sesuai dengan nama yang telah kami pilih untukmu, sayang. ‘Fajar yang mulia’ (the noble dawn).

“Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” tulisnya menerusi perkongsian di Instagram, hari ini.

Dalam hantaran sama, Alif yang kini bergelar bapa kepada empat cahaya mata turut menitipkan doa agar perjalanan hidup Aleyya sentiasa berada di bawah lindungan Ilahi, selain berjanji memberikan yang terbaik buat anaknya.

“Semoga hidupmu sentiasa dibimbing dengan kasih sayang dan hidayah-Nya dalam setiap langkah yang kamu ambil.

“Ayah berjanji akan sentiasa melakukan yang terbaik dan sentiasa berada di sisimu. Assalamualaikum dan selamat datang ke dunia, Aleyya Fajr,” katanya.

Terdahulu, Alif memaklumkan isterinya, Shadila Halid, selamat melahirkan anak keempat mereka di sebuah pusat perubatan pada hari kedua Syawal.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada September 2014 dan dikurniakan empat orang anak Alisha Anugerah, 11, Ariana Mecca, 9, Muhammad Ali, 7 serta bayi yang baharu dilahirkan. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN