Alam Flora edar 2,000 bubur lambuk guna bekas guna semula

Alam Flora edar 2,000 bubur lambuk guna bekas guna semula

SHARIMAN Yusuf Mohamed Zain mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung pada program Kongsi Rezeki Alam Flora di Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,000 pek bubur lambuk diedarkan menggunakan bekas makanan guna semula kepada pengunjung Bazar Ramadan Presint 3 di sini sebagai usaha mengurangkan penggunaan pembungkusan sekali guna serta sisa makanan sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata, peningkatan aktiviti jual beli makanan sepanjang Ramadan sering menyumbang kepada pertambahan sisa pembungkusan yang akhirnya dihantar ke tapak pelupusan.

Menurutnya, penggunaan bekas makanan guna semula merupakan langkah praktikal dan berkesan dalam usaha mengurangkan jumlah sisa pepejal di negara ini.

“Melalui kempen ‘Tapau Elak Sisa’, kami menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan mangkuk tingkat (tiffin).

“Usaha ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa, malah memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas selesai Program Kongsi Rezeki Alam Flora di sini, hari ini.

Beliau berkata, amalan membawa bekas makanan sendiri juga dapat membantu mengelakkan pembelian berlebihan yang akhirnya menyumbang kepada pembaziran makanan serta peningkatan sisa pepejal.

“Perubahan kecil dalam tabiat harian mampu memberi impak besar kepada alam sekitar. Jika amalan ini dapat dibudayakan secara konsisten, ia akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih bersih dan mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Alam Flora berharap inisiatif berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurangan sisa serta menggalakkan amalan penggunaan semula sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN