Akta Pekerja Gig berkuat kuasa mulai hari ini, lindungi 1.64 juta pekerja

Akta Pekerja Gig berkuat kuasa mulai hari ini, lindungi 1.64 juta pekerja

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mula dikuatkuasakan hari ini memanfaatkan lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam sektor ekonomi itu di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, melalui akta ini, pekerja gig kini mempunyai perlindungan perundangan yang lebih jelas termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, perlindungan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ini termassuk perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih teratur melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) serta Tribunal Pekerja Gig.

“Selepas Akta ini dikuatkuasakan, pekerja gig akan kekal bekerja secara fleksibel dan akta ini tidak akan menganggu ekosistem gig itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dengan penguatkuasaan Akta 872, individu yang terlibat dalam sektor tersebut bakal mendapat manfaat melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.

“Berbanding negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Filipina yang masih memperkenalkan perlindungan pekerja gig secara berperingkat atau terhad kepada sektor tertentu, Malaysia mengambil pendekatan lebih menyeluruh dengan memperkenalkan kerangka perundangan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.

Terma pekerja gig merujuk kepada tiga perkara utama iaitu seorang warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia, orang yang membuat perjanjian dengan entiti kontrak sama ada penyedia platform atau tanpa platform dan menerima pendapatan atau bayaran bagi setiap perkhidmatan yang telah diberikan.

Pekerja gig yang membuat perjanjian perkhidmatan dengan penyedia platform ialah pekerja e-hailing dan p-ehailing, manakala pekerja gig tanpa platform merujuk kepada pekerja gig dari sektor perkhidmatan seperti lakonan, aktiviti perfileman dan muzik, terjemahan, kewartawanan, penjagaan dan lain-lain sepeti yang disenaraikan di bawah jadual kepada akta tersebut.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah melantik seramai 26 anggota Majlis Perundingan Gig (MPGig) yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman yang akan berkuatkuasa mulai 1 April.

Menurutnya, mesyuarat MPGig pertama akan berlangsung pada 3 April ini bagi membincangkan isu kadar pendapatan pekerja gig yang menjadi antara masalah utama yang sering dibangkitkan oleh pekerja gig. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN