KUALA LUMPUR: Ajinomoto (Malaysia) Berhad dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. menyantuni penduduk di kawasan Perumahan Awam Seri Sabah menerusi Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk.
Kira-kira 1,000 pek bubur lambuk beserta produk Ajinomoto diagihkan kepada komuniti setempat bagi mengimarahkan Ramadan kali ini.

Pakar Bahagian Komunikasi dan Korporat Ajinomoto Malaysia Berhad Mhd. Afiq Al-Hafiz berkata, objektif utama penganjuran program tersebut adalah untuk berkongsi rezeki serta menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan bersama komuniti setempat.
Katanya, pendekatan pengagihan bubur lambuk turut membuka ruang interaksi lebih dekat dengan komuniti di samping menyampaikan mesej tentang kepentingan pemakanan yang seimbang dan lebih sihat.
“Bubur lambuk sinonim dengan Ramadan dan budaya masyarakat Malaysia. Ia bukan sekadar juadah berbuka puasa, tetapi simbol perpaduan dan gotong-royong.
“Sebagai sebuah syarikat yang berteraskan inovasi makanan, Ajinomoto ingin menyumbang kembali kepada masyarakat melalui inisiatif yang dekat di hati rakyat Malaysia, di samping memupuk nilai prihatin dan kasih sayang.
“Fokus utama program ini adalah untuk berkongsi dan menyantuni komuniti. Namun, secara tidak langsung ia juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyediaan makanan yang lazat dan seimbang,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu kelmarin.
Katanya, program tersebut turut mencerminkan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ajinomoto dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Kami percaya CSR bukan sekadar sumbangan, tetapi usaha berpanjangan dalam membina hubungan yang kukuh dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar dan Timbalan Ketua Komunikasi Korporat dan Perniagaan Ajinomoto, Lau Chin Mun berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk meneruskan serta memperluaskan aktiviti berasaskan komuniti pada masa akan datang.
Katanya, aktiviti pengagihan bubur lambuk kepada golongan memerlukan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Media Mulia Sdn. Bhd., pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan lain.
“Setakat ini, jenama Seri-Aji telah memulakan aktiviti bubur lambuk sejak beberapa tahun lalu dan kami sentiasa mempertimbangkan untuk meneruskan aktiviti seperti ini pada masa akan datang.
“Kami juga akan mempertimbangkan untuk memperluaskan program ini ke lebih banyak negeri supaya lebih ramai masyarakat dapat menerima manfaat daripada inisiatif yang dijalankan,” katanya.
Selain itu, wakil Media Mulia, Ismail Daud berkata, kerjasama dalam program itu membolehkan kedua-dua pihak berganding bahu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti.
Katanya, program itu turut membuka ruang kepada pihak penganjur mengetengahkan produk keluaran masing-masing kepada masyarakat.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja dapat berkongsi rezeki dengan masyarakat, malah dalam masa yang sama berpeluang memperkenalkan produk yang dihasilkan oleh Media Mulia dan Ajinomoto kepada komuniti.
“Inisiatif ini membuka ruang kepada kami selaku pihak penganjur untuk mendekati masyarakat secara lebih dekat selain mengeratkan hubungan dengan penduduk melalui aktiviti yang dijalankan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, ketua tukang masak, Aziz Ninggal, 56, berkata, keunikan bubur lambuk yang disediakan kali ini terletak pada penggunaan tulang lembu bersama daging bagi menghasilkan rasa yang lebih sedap dan berlemak.
Katanya, kaedah tersebut memberikan rasa manis semula jadi kepada bubur lambuk selain mengekalkan resipi yang digunakan sejak beberapa tahun lalu.
Justeru katanya, produk Ajinomoto turut digunakan dalam penyediaan bubur lambuk bagi membantu menambahkan rasa dalam masakan selain memudahkan proses memasak tanpa perlu menggunakan terlalu banyak bahan tambahan.
“Saya menggunakan tulang bersama daging kerana mahu mendapatkan rasa manis semula jadi daripada tulang tersebut. Apabila kedua-dua bahan ini dimasukkan sekali, rasa bubur lambuk akan menjadi sedikit berbeza dan lebih sedap.
“Penggunaan produk Ajinomoto khususnya Perencah Pati Ayam TUMIX®️ dan Lada Berperisa AJI-SHIO®️untuk bubur lambuk ayam turut memberikan rasa ayam yang lebih khas. Bagi saya, produk Ajinomoto sangat membantu menambahkan rasa dalam masakan dan rasanya juga tidak terlalu masin,” katanya.

Suri rumah, Rohani Md Don, 69, pula berkata, pemberian produk Ajinomoto bersama bubur lambuk menerusi program tersebut amat dihargai oleh penduduk kerana ia merupakan antara bahan yang sering digunakan dalam masakan harian di rumah.
Katanya, sumbangan tersebut bukan sahaja membantu meringankan perbelanjaan dapur, malah memberi manfaat kepada penduduk yang menerimanya.
“Saya memang selalu menggunakan produk Ajinomoto dalam masakan di rumah kerana ia membantu menyedapkan lagi masakan.
“Apabila menerima produk tersebut melalui program ini, saya amat berterima kasih dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi supaya lebih ramai penduduk dapat merasai manfaatnya,” katanya. – UTUSAN










