PETALING JAYA: Teknologi penyahgaraman air laut kini giat dibangunkan bagi membolehkan penggunaannya untuk minuman dan industri, khususnya di kawasan pulau terpencil dan komuniti terpinggir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif itu penting bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air susulan kebergantungan tinggi negara terhadap sumber sungai yang terdedah kepada pencemaran dan kemarau.
Katanya selain itu, langkah menaik taraf kolam takungan pelbagai fungsi menggunakan sumber air permukaan dan hujan selain mendalamkan dasar sungai di seluruh negara menjadi antara langkah utama untuk mencari sumber air alternatif.
“Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) kini giat meneroka sumber air alternatif bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan kepada pengguna.
“Usaha ini termasuklah menaiktaraf kolam takungan pelbagai fungsi dari sumber air permukaan dan air hujan, mendalamkan takungan dasar sungai dan melaksanakan pemetaan sumber air tanah di seluruh negara.
“Selain itu, penyelidikan teknologi disalinasi atau penyahgaraman bagi penggunaan air laut untuk kegunaan minuman dan industri juga dilaksanakan dengan memberi tumpuan di kawasan pulau terpencil dan komuniti terpinggir.
“Pada masa ini, produk minuman air hujan terawat berbungkus NAHRIM iaitu PETRAN RAINDROPS dan CLOUDRAIN sudah bersedia ke pasaran melalui pengkomersialan,” katanya dalam kenyataan.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Makmal Forensik Pencemaran Air kini dilengkapkan dengan dengan peralatan analisis bahan cemar baharu dan penjujukan genom mikrobiologi sehingga 200 parameter bagi memastikan kualiti sumber air terpelihara.
Katanya, sumber air permukaan semakin terdedah kepada pencemaran daripada sisa perbandaran, industri dan domestik, termasuk ancaman bahan cemar baharu dan mikroplastik yang sukar dikesan melalui kaedah konvensional.
“NAHRIM turut menerajui aplikasi kecerdasan buatan dan data raya untuk memperkasa usaha pemantauan sumber air secara masa nyata. Melalui sistem Kecerdasan Buatan Penarafan Sungai bagi Keselamatan, Kesesuaian dan Kelestarian (AIR3S) yang dibangunkan secara tempatan, tindakan penguatkuasaan dan mitigasi dapat dilaksanakan dengan lebih pantas sebelum pencemaran menjadi kritikal,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, pihaknya melalui NAHRIM turut memulakan pendekatan saintifik bagi menangani masalah banjir dengan penubuhan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) sejak akhir 2025.
“Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur menjalankan forensik berasaskan data dan bukti saintifik untuk menyiasat punca sebenar kejadian banjir.
“Selain itu, menilai keupayaan infrastruktur sedia ada serta membolehkan strategi tebatan banjir yang lebih inovatif termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan yang lebih efisien.
“Pengurusan banjir diperkukuh melalui teknologi simpanan air lebihan secara takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan semula jadi dan kolam takungan pelbagai fungsi,” katanya.
Menurut beliau, beberapa langkah dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti seperti PETRAN Tembok Penahan Banjir Automatik dan PETRAN Dinding Tebatan Banjir Mudah Alih.
Dalam usaha pemuliharaan pantai, Fadillah berkata, NAHRIM memulakan penyelidikan Forensik Pantai bagi menilai keberkesanan sistem perlindungan terhadap hakisan dan limpahan air laut.
“Melalui Makmal Hidraulik dan Instrumentasi (MHI), aplikasi pemodelan fizikal digunakan bagi menyediakan cadangan penyelesaian berdasarkan verifikasi dan reka bentuk optimum sebelum pembinaan sebenar dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN








