Ahmad Nawab diiktiraf Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak MBOR - Utusan Malaysia

Ahmad Nawab diiktiraf Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak MBOR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seniman Negara Ketujuh, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab diiktiraf sebagai penerima rekod Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak atau The Most Cinematic Music Production oleh Malaysia Book of Records (MBOR), pada Selasa.

Pengiktirafan tersebut disampaikan Pegawai Rasmi MBOR, Siti Hajar Johor kepada anak keempat Allahyarham, Nasir Khan, berdasarkan kejayaan tokoh muzik itu menghasilkan 200 lagu untuk 42 filem sepanjang hayatnya.

Menurut Siti Hajar, pengiktirafan itu merupakan satu pencapaian luar biasa dalam industri seni tanah air.

“Pada hari ini, kami mengiktiraf rekod arwah bagi kategori Produksi Muzik Paling Sinematik. Sebelum ini, belum pernah ada penggiat seni menerima pengiktirafan sebesar ini dalam bidang sama.

“Arwah juga merupakan pemegang rekod lagu terbanyak dirakamkan iaitu sebanyak 2,000 lagu yang dicatatkan pada tahun 2013,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sijil berkenaan di pejabat MBOR, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nasir meluahkan rasa syukur dan bangga apabila usaha serta dedikasi bapanya terus dihargai biarpun selepas pemergiannya.

Katanya, proses mengumpul dan mendokumentasikan semula karya-karya Allahyarham dilakukan demi memastikan legasi seni tersebut tidak luput ditelan zaman, khususnya sebagai rujukan generasi muda.

“Menghasilkan muzik untuk 42 filem bukan sesuatu yang mampu dilakukan oleh semua orang. Malah pada hemat saya, sukar untuk ada mana-mana individu menandingi rekod beliau ketika ini.

“Kita tidak bercakap tentang satu genre semata-mata, sebaliknya pelbagai aliran termasuk filem purba seperti filem sulungnya, Tun Teja pada 1960, selain filem komedi dan drama. Arwah turut terlibat dalam enam filem bersama P. Ramlee termasuk Masam-Masam Manis dan Do Re Mi,” katanya.

Mengulas lanjut, Nasir berkata, dokumentasi bagi tujuan pencalonan kepada MBOR menjadi lebih mudah kerana Allahyarham amat teliti menyimpan segala hasil kerjanya.

“Arwah menyimpan rapi setiap karya. Saya hanya perlu membuat kajian lanjut, mengumpulkan judul filem serta maklumat pengarah, selain mendapatkan pengesahan daripada mereka yang masih ada mengenai lagu-lagu yang dihasilkan.

“Semua bahan itu dikemukakan kepada pihak MBOR sebagai bukti dan mereka turut menjalankan penelitian sebelum mengesahkan pengiktirafan ini,” jelasnya.

Beliau menegaskan, usaha merekodkan pencapaian tersebut perlu dilakukan agar karya seni tidak lenyap begitu sahaja.

“Jika tiada siapa mengambil inisiatif, rekod sebegini akan hilang. Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya,” katanya.

Dalam usaha memelihara khazanah seni berkenaan, Nasir turut menerbitkan buku Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab yang memuatkan nota rujukan muzik untuk diedarkan secara percuma ke perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Buku ini diharap menjadi rujukan pelajar jurusan muzik. Selama ini kita banyak mengkaji muzik tradisional, namun muzik pop era P. Ramlee dan Ahmad Nawab juga wajar diteliti dari sudut sejarah serta perkembangan seninya.

“Saya juga berharap suatu hari nanti ada pihak kementerian yang sudi bekerjasama membuka galeri khas. Koleksi arwah terlalu banyak, daripada saksofon hingga skor muzik asal, semuanya masih tersimpan rapi,” ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham yang nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir pada 24 November 2024 di kediamannya di Taman Melewar pada pukul 3.15 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves, keesokan harinya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN