PETALING JAYA: Beberapa Ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan supaya menulis dan mengesahkan secara rasmi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) selain mendapatkan pengesahan rasmi daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung perkara tersebut.
Menurut kenyataan, mereka turut menggesa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani membuat penjelasan secepat mungkin serta mengesahkan bahawa pembatalan perjanjian ART telah dimuktamadkan secara rasmi melalui saluran diplomatik antara kedua-dua negara.
Menurut mereka, Johari sehingga kini masih belum menjawab dan mengesahkan beberapa perkara penting, antaranya sama ada kerajaan telah menulis secara rasmi kepada AS bagi menyatakan bahawa perjanjian ART telah terbatal secara muktamad.
“Sekiranya perkara itu telah berlaku, apakah maklum balas rasmi daripada kerajaan AS mengenai hasrat kerajaan Malaysia tersebut? Adakah Kerajaan AS telah mengesahkan bahawa perjanjian ART telah terbatal?
“Sekiranya kerajaan Malaysia masih belum menulis dan belum ada sebarang komunikasi rasmi mengenai perkara ini, apakah asas yang digunakan kerajaan untuk membuat kesimpulan bahawa perjanjian ART telah terbatal?” katanya.
Kenyataan tersebut ditandatangani Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir. Ts. Zahir Hassan.
Sementara itu, mereka berkata, bagi memastikan kegagalan perjanjian perdagangan seperti ini tidak berulang pada masa hadapan, satu siasatan perlu dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa yang dipengerusikan oleh Wong Chen.
Menurut mereka, siasatan tersebut boleh melibatkan pemanggilan individu-individu utama yang terlibat dalam penandatanganan ART, khususnya bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memberi keterangan di hadapan PSSC.
“Siasatan juga boleh meneliti langkah perlindungan yang lebih kukuh pada masa hadapan termasuk memastikan semua perjanjian perdagangan disertakan dengan analisis kos faedah yang komprehensif serta boleh diakses oleh rakyat Malaysia terlebih dahulu.
“Kami turut mencadangkan supaya semua perjanjian perdagangan pada masa hadapan memerlukan kelulusan undi Parlimen sebelum ditandatangani,” katanya. – UTUSAN









