KUALA LUMPUR: Sepanjang Ramadan 2026, Agrobank terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa usahawan tempatan melalui penganjuran Bazar Ramadan Agrobank dengan kerjasama 12 buah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Inisiatif merangkumi 16 buah lokasi di seluruh negara, melibatkan seramai 2,400 penjaja tempatan. Sebagai sokongan kepada para peniaga tempatan ini, Agrobank menyediakan kanopi bazar eksklusif serta akses kepada kemudahan pembiayaan mikro bagi membantu meningkatkan kelangsungan dan daya saing perniagaan mereka sepanjang tempoh Ramadan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024, program Bazar Ramadan Agrobank telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
Pada tahun pertama penganjuran, sebanyak empat lokasi bazar telah dilaksanakan, melibatkan 506 lot.
Usaha ini kemudiannya diperluaskan pada tahun 2025 kepada 15 lokasi dengan kerjasama MBI Selangor, merangkumi 1,411 lot bazar. Bagi tahun 2026, program ini terus diperkasa dengan peningkatan kepada 2,400 lot bazar di pelbagai lokasi strategik di seluruh Malaysia, mencerminkan impak dan penerimaan positif dalam kalangan komuniti penjaja.
Inisiatif ini sekaligus memperkukuh kedudukan Agrobank sebagai antara peneraju utama dalam penganjuran inisiatif bazar Ramadan berskala besar pada tahun ini.Bagi meningkatkan pengalaman berbelanja di bazar Ramadan tahun ini, Agrobank turut menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai menerusi DuitNow QR Agrobank.
Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan transaksi, malah menyokong agenda pendigitalan dalam kalangan peniaga dan pengguna.
Sempena penganjuran Bazar Ramadan Agrobank ini, jumlah keseluruhan transaksi melalui kaedah pembayaran tanpa tunai telah merekodkan nilai sebanyak RM9.2 juta, mencerminkan tahap penerimaan yang memberangsangkan terhadap penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pelanggan dan peniaga.
Selari dengan usaha tersebut, Agrobank dengan kerjasama PayNet memperkenalkan Kempen Imbas, Bayar dan Menang, yang berlangsung dari 15 Februari hingga 15 Jun 2026.
Melalui kempen ini, pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah motosikal Honda ADV160, telefon pintar iPhone 17 Pro Max serta wang tunai bernilai RM300.
Kempen ini menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital seperti DuitNow QR, Kad Debit AGRO-i dan FPX, sekali gus mempercepatkan peralihan ke arah ekosistem pembayaran yang lebih cekap, selamat dan inklusif.
Memandangkan kempen ini masih berlangsung, pelanggan masih boleh terus menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi urusan harian.
Setiap transaksi yang dibuat bukan sahaja memudahkan urusan pembayaran, malah membuka lebih peluang kepada pelanggan untuk menikmati ganjaran yang ditawarkan sepanjang tempoh kempen ini. – UTUSAN











