KUALA LUMPUR: Sebanyak RM79.6 bilion dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diagihkan kepada 18.1 juta pencarum melibatkan Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi tahun kewangan 2025.
Berdasarkan kadar dividen 6.15 peratus yang diumumkan semalam, jumlah agihan Simpanan Konvensional melibatkan RM67.1 bilion manakala RM12.5 billion lagi bagi Simpanan Syariah.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion iaitu meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024.
Aset pelaburan turut meningkat kepada RM1.41 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion didorong oleh pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelaburan domestik terus stabil dengan 61.7 peratus dilaburkan dalam pasaran yang menjana RM39.3 bilion atau 49.6 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
“Pelaburan global yang merangkumi 38.3 peratus daripada portfolio pula menjana pendapatan sebanyak RM39.9 bilion, bersamaan 50.4 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
“Portfolio pelaburan kami yang pelbagai merangkumi kelas aset dan pasaran, dipandu oleh alokasi aset strategik, membolehkan kami menghadapi turun naik pasaran yang memuncak pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun kitaran pasaran boleh membawa ketidaktentuan jangka pendek, pengurusan risiko yang berdisiplin dengan strategi pelaburan jangka panjang terus menjadi teras dalam mengekalkan daya tahan dan menjana pulangan yang konsisten untuk ahli,” katanya pada Taklimat Dividen KWSP 2025 di Menara KWSP, Kwasa Damansara di sini semalam.
Pengkreditan dividen bagi kedua-dua simpanan sudah selesai semalam. Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.
Ahmad Zulqarnain berkata, KWSP mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2025, walaupun berdepan persekitaran yang tidak menentu berikutan dasar perdagangan sukar diramal.
“Pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi pemacu utama pendapatan KWSP, disokong oleh pulangan stabil daripada pendapatan tetap dan kepelbagaian portfolio yang kukuh.
“Pencapaian ini mencerminkan pendekatan jangka panjang kami dalam melindungi simpanan ahli bagi memastikan pulangan yang mampan,” katanya.
Mengulas mengenai jumlah agihan yang lebih tinggi tetapi dividen lebih rendah, Ahmad Zulqarnain berkata, perkara itu berlaku disebabkan saiz keahlian KWSP yang lebih besar.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berdasarkan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, terutamanya disebabkan turun naik kadar pertukaran asing.
“Ia juga disebabkan pengukuhan ringgit yang memberi kesan terjemahan mata wang bagi aset antarabangsa apabila ditukar ke ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, pencarum yang menyimpan dalam Akaun Fleksibel atau Akaun 3 layak menerima dividen 6.15 peratus.
Ahmad Zulqarnain berkata, bagaimanapun agihan itu dibuat berdasarkan baki sebenar dalam setiap akaun, bukan secara pukal.
Katanya, saranan supaya dividen KWSP disalurkan sepenuhnya ke Akaun 3 tidak boleh dilaksanakan berikutan peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurutnya, dividen akan dikreditkan mengikut baki purata harian dalam Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3), bukannya tertumpu kepada satu akaun sahaja.
“Jika pencarum sudah mengeluarkan keseluruhan simpanan dalam Akaun Fleksibel, maka akaun itu tidak akan menerima dividen. Pengiraan dibuat berdasarkan baki purata harian setiap akaun,” katanya.
Beliau berkata, dividen mesti dikreditkan ke dalam akaun simpanan pencarum yang berkaitan mengikut Akta KWSP 1991.
“Ini sama ada Simpanan Konvensional atau Simpanan Shariah, membabitkan Akaun Persaraan (Akaun 1), Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
“Daripada segi Akta KWSP yang sedia ada, dividen perlu dikreditkan kepada akaun berkenaan. Jadi kalau Simpanan Shariah atau akaun satu atau akaun dua, dividen perlu dikreditkan mengikut Akta KWSP pada akaun terbabit.
“Semua agihan perlu dikreditkan ke dalam akaun simpanan masing-masing seperti yang diperuntukkan di bawah Akta KWSP,” katanya.
Sementara itu, caruman sukarela terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM19.2 bilion.
Program i-Saraan merupakan pemacu utama dengan jumlah penerima insentif meningkat 35.9 peratus kepada 720,056 dan jumlah caruman meningkat 50.8 peratus kepada RM4 bilion.
Bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 26 peratus kepada 229,901 orang.
Secara keseluruhan, jumlah caruman meningkat 12.3 peratus kepada RM121.5 bilion, disokong oleh pertambahan keahlian, pertumbuhan gaji dan keyakinan yang berterusan terhadap KWSP.
Dalam pada itu, keahlian KWSP meningkat kepada 18.1 juta, disokong oleh penyertaan tenaga kerja yang lebih meluas termasuk pekerja bukan warganegara Malaysia.
Bilangan ahli aktif meningkat kepada 10.6 juta, sekali gus menambah baik nisbah ahli aktif kepada tidak aktif kepada 59:41.
Pendaftaran baharu pula kekal kukuh dengan 2.8 juta ahli baharu dan 89,649 majikan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan majikan aktif sebanyak 640,391. – UTUSAN








