ADUN Kuala Kurau dilantik Ketua Penaja Bersatu Bagan Serai - Utusan Malaysia

ADUN Kuala Kurau dilantik Ketua Penaja Bersatu Bagan Serai

ABDUL Yunus Jamahri menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Bersatu Bagan Serai daripada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bagan Serai baru -baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri dilantik Ketua Penaja Bersatu Bahagian Bagan Serai, menggantikan kepimpinan sebelum ini yang meletak jawatan.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali termasuk semua ahli jawatankuasa bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa pada 18 Febuari lalu.

Abdul Yunus berkata, beliau memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan semula organisasi parti di peringkat akar umbi selain menggerakkan jentera pilihan raya lebih awal sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, kepercayaan yang diberikan kepimpinan tertinggi parti kepadanya untuk memimpin bahagian itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menghidupkan kembali kekuatan Bersatu di kawasan tersebut.

Katanya, antara keutamaan beliau ialah memperkemaskan semula struktur parti di peringkat bahagian selain menarik semula penyertaan ahli-ahli lama yang sebelum ini kurang aktif dalam gerak kerja politik di Bagan Serai.

“Fokus pertama adalah untuk mengukuhkan semula organisasi Bersatu di Bahagian Bagan Serai dan memastikan semua peringkat jentera parti kembali berfungsi dengan lebih tersusun serta berkesan.

“Pada masa sama, kita juga akan berusaha mengaktifkan kembali ahli-ahli lama supaya mereka dapat bersama-sama menggerakkan parti serta memperkukuhkan sokongan di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Pas Kawasan Parit Buntar di Titi Serong di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Penaja Bersatu Bahagian Bagan Serai daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Abdul Yunus, persiapan awal jentera pilihan raya juga menjadi agenda penting memandangkan PRU16 dijangka berlangsung dalam tempoh kurang setahun lagi.

Katanya, langkah tersebut perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) berada dalam keadaan bersedia untuk mempertahankan kemenangan yang dicapai di Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN mencatat kemenangan bersih di Parlimen Bagan Serai dengan menguasai satu kerusi Parlimen serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas mengenai spekulasi berkaitan calon yang bakal diketengahkan pada PRU16 termasuk kemungkinan berlaku perubahan calon sedia ada, Abdul Yunus menegaskan bahawa perkara tersebut bukan dalam bidang kuasanya untuk diputuskan.

“Soal pemilihan calon dan pembahagian kerusi akan ditentukan sepenuhnya oleh pucuk pimpinan tertinggi parti berdasarkan pertimbangan strategik bagi memastikan kemenangan dapat dikekalkan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN