PETALING JAYA: “Adakah wajar untuk terus membangkitkan perkara sebelum perkahwinan sedangkan saya tidak melakukan apa-apa selepas itu?”
Demikian kata anak kepada pelakon, Abby Abadi dan Norman Hakim, Marissa Dania yang dipercayai ditujukan kepada madunya, Umisya Mazlan susulan memuat naik kenyataan berbaur ungkitan mengenai kontroversi rumahtangganya bersama Ahmad Aslam.
Marissa berkata, dirinya sudah pun mengakui khilafnya, bahkan memberi bayangan seolah dirinya tidak pernah dilayan dengan sewajarnya sebagai seorang isteri oleh suaminya sepanjang berkahwin.
“Yang mana saya sendiri akui sebagai kesalahan dan kekhilafan, sedangkan saya tidak mengganggu atau melakukan sebarang provokasi selepas bernikah.
“Malah, saya tidak mendapat hak sebagai seorang isteri seperti yang sepatutnya, secara adil, dan saya juga tidak menuntut apa-apa mahupun berkata apa-apa,” katanya.
Namun, Marissa turut meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan madunya yang mendedahkan kelemahannya yang disifatkan untuk meraih sokongan ramai.
“Adakah benar-benar perlu mencari sokongan dengan mendedahkan kelemahan seseorang?,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut seolah memakan dirinya apabila rata-rata netizen terus mengecam tindakannya yang menjadi punca kebahagiaan rumah tangga Umisya bersama Aslam runtuh kerana kewujudan orang ketiga.
“Selayaknya sebagai seorang perempuan yang merosakkan rumah tangga orang lain. Awak rosakkan kebahagiaan anak-anak kecil demi kepentingan diri, kemudian awak masih nak rasa layanan macam puteri? Logik ke? Dah macam isteri itu salah pulak sedangkan dia yang mangsa,” komen seorang netizen
Enggan berdiam diri, Marissa bagaimanapun dilihat lantang membalas setiap komen netizen yang berbaur kecaman ke atas dirinya.
“Sebab itu saya cakap dekat atas itu tak pernah tuntun atau cakap apa-apa,” balasnya.
Terdahulu, Umisya tampil bersuara selepas namanya terpalit dalam isu perkahwinan suaminya, Aslam bersama Marissa demi meleraikan beberapa spekulasi yang berunsurkan fitnah.
Kontroversi rumah tangga Marissa dan Aslam mula meraih perhatian selepas pasangan itu menghadiri prosiding lafaz cerai dan rujuk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.










