PETALING JAYA: Seramai 72 pelajar asnaf daripada Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson menerima sumbangan berjumlah RM36,000 menerusi Bantuan Lestari Siswa MADANI yang disalurkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, setiap pelajar akan menerima bantuan RM500 secara ‘one-off’ yang akan dikreditkan terus ke akaun bank setiap pelajar.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta
memberi sokongan tambahan dalam tempoh pengajian pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Bantuan Lestari Siswa MADANI diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup
kepada pelajar yang kurang berkemampuan sekaligus membantu meringankan beban
kewangan pelajar di IPT,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah Norliza, sepanjang bulan Ramadan, PTPTN turut menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat bagi menyantuni masyarakat dan golongan memerlukan.
Antara program tersebut adalah Program Imarah Ramadan PTPTN di IPT, Program Jom Kejut Sahur serta Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf.
“Selain itu, PTPTN turut menghargai peranan media yang banyak membantu menyampaikan maklumat tepat mengenai perkhidmatan agensi kepada masyarakat.
“Laporan media yang seimbang dan beretika penting bagi memastikan masyarakat memahami tanggungjawab membayar balik pinjaman serta manfaat simpanan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN),” katanya.
Norliza menyatakan Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pendeposit termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun serta perlindungan takaful kepada pendeposit.
Selain itu, skim simpanan tersebut turut menyediakan Geran Sepadan sehingga RM10,000 kepada satu keluarga yang layak bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan.
“Simpan SSPN juga menawarkan dividen yang kompetitif selain menjamin keselamatan simpanan kerana dilindungi kerajaan serta diuruskan berlandaskan prinsip patuh syariah,” katanya. – UTUSAN










