BAGAN DATUK: Seramai 71,680 peserta Felcra Berhad di seluruh negara menerima khabar gembira apabila bakal menerima ‘duit raya’ selepas mengumumkan Agihan Akhir Keuntungan Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) bagi tahun 2025 berjumlah RM302.9 juta.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan agihan keuntungan tahun 2025 sebanyak RM632.7 juta.
Katanya, ia merangkumi agihan interim, agihan bulanan dan agihan akhir kepada peserta.
“Pengumuman yang dibuat sebelum sambutan Aidilfitri ini membawa khabar gembira kepada peserta Felcra dalam membuat persiapan menyambut hari raya bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan akhbarnya, di sini hari ini.
Menurut beliau, pencapaian tahun 2025 merupakan prestasi yang terbaik dalam tempoh 15 tahun dan kedua terbaik dalam sejarah 60 tahun penubuhan Felcra bermula pada tahun 1966.
Katanya, kejayaan itu menjadi lebih signifikan kerana ia dicapai ketika Felcra menyambut ulang tahun Jubli Intan sekali gus mencerminkan kematangan organisasi dan keupayaan berterusan syarikat dalam memperkasa ekonomi luar bandar.
“Prestasi kukuh ini didorong oleh peningkatan harga komoditi dan pengukuhan produktiviti ladang khususnya kelapa sawit,” ujar beliau.
Beliau berkata, purata harga Buah Tandan Segar (BTS) kelapa sawit meningkat daripada RM4,182.27 pada tahun 2024 kepada RM4,283.33 pada tahun 2025, iaitu kenaikan sebanyak 2.42 peratus dengan lonjakan ketara 23.7 peratus dicatatkan pada Januari 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Malah katanya, harga BTS keseluruhan turut meningkat daripada RM794 kepada RM850 satu tan, bersamaan kenaikan tujuh peratus.
“Dari segi produktiviti, hasil per hektar ladang meningkat daripada 17.02 tan metrik sehektar kepada 18.15 tan metrik sehektar, iaitu pertumbuhan 6.6 peratus.
“Pendapatan kasar per hektar turut bertambah daripada RM13,280 kepada RM15,039, manakala keuntungan bersih per hektar melonjak daripada RM4,462 kepada RM5,893, mencatat peningkatan signifikan sebanyak 32.1 peratus.
“Walaupun terdapat peningkatan kos pengurusan secara sederhana, kadar
pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi telah memperkukuh margin keuntungan keseluruhan projek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid menyifatkan pencapaian itu sebagai manifestasi komitmen seluruh warga FELCRA dalam memastikan kecekapan operasi dan disiplin tadbir urus terus diperkasakan.
“Asas pengurusan yang kukuh, pemantauan kos yang berdisiplin dan tumpuan terhadap peningkatan produktiviti membolehkan Felcra menjana pulangan yang mampan kepada peserta walaupun dalam suasana pasaran komoditi yang mencabar.
“Agihan keuntungan ini dilaksanakan selaras dengan dasar pengagihan Felcra Berhad berdasarkan lebihan sebenar projek selepas mengambil kira kos operasi dan komitmen pembangunan ladang,” katanya. – UTUSAN










