GEORGE TOWN: Seramai 22 gelandangan dikenal pasti dan diselamatkan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan di daerah Timur Laut, awal pagi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, operasi itu dilaksanakan bagi menyantuni golongan terbabit selain mengawal kehadiran mereka yang menjadikan kawasan awam sebagai tempat bermalam.
Menurutnya, semua individu yang ditemui dibawa ke Pusat Transit Harapan untuk menjalani proses saringan melibatkan aspek kesihatan, latar belakang serta keperluan bantuan.
“Hasil operasi mendapati empat individu disyaki mengalami masalah mental dan telah dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Selain itu, empat kes melibatkan individu yang sedang menjalani rawatan ketagihan alkohol dan methadone, manakala satu kes membabitkan pesakit kronik dengan pelbagai komplikasi kesihatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, seorang individu turut diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan selepas didapati positif dadah, manakala dua lagi kes membabitkan warga asing.
Seramai empat gelandangan ditempatkan sementara di Pusat Transit Harapan bagi tujuan perlindungan dan pemulihan, manakala enam individu lain dibebaskan dengan amaran selepas didapati mempunyai pekerjaan serta tempat tinggal.
“Individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri turut disemak serta-merta oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi tujuan pengesahan identiti.
“Sementara itu, kes melibatkan tingkah laku agresif atau masalah kesihatan mental akan dirujuk ke hospital dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan tindakan segera dapat diambil,” katanya.
Operasi berlangsung dari pukul 11.45 malam hingga 6 pagi itu melibatkan kira-kira 70 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Tumpuan operasi meliputi kawasan sekitar Bangunan Komtar, Stesen Bas Komtar, Love Lane, Kampung Kolam dan Persiaran Karpal Singh yang dikenal pasti sebagai lokasi persinggahan gelandangan.- UTUSAN










