PETALING JAYA: Seramai 13 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.
Perkara itu disahkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dalam surat yang diutuskan kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 24 Februari lalu.
Dalam surat yang dilihat Utusan Malaysia, Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu memaklumkan kepada Takiyuddin bahawa 13 ahli Parlimen Bersatu secara kolektif dan majoriti membuat ketetapan menyokong Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.
Katanya, ahli Parlimen Bersatu akan terus memberikan tumpuan dan fokus bagi menjulang suara rakyat, mengangkat kepentingan nasional serta memulakan peranan semak dan imbang dengan penuh bertanggungjawab terutamanya dalam sesi Parlimen yang berbaki.
Surat itu turut menyenaraikan nama-nama ahli Parlimen yang menyokong Hamzah untuk kekal menyandang jawatan itu.
Selain Ronald (Ahli Parlimen Beluran), wakil rakyat yang menyokong Hamzah ialah Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin).
Turut disenaraikan ialah Datuk Khlir Mohd. Nor (Ketereh), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).
Ia mengesahkan bahawa Hamzah memiliki sokongan 18 ahli Parlimen Bersatu termasuk lima lagi yang dipecat parti. Lima yang dipecat ialah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor), Kapten Azahari Hassan (Padang Rengas); Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Bagaimanapun, surat itu dilihat bertentangan dengan pendirian parti dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah beberapa kali menyatakan keperluan PN untuk menukar Ketua Pembangkang selepas Hamzah dipecat.
Bahkan, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz beberapa kali mendesak Pas mengambil alih jawatan tersebut, malah mengeluarkan kenyataan keras meminta Hamzah untuk tidak lagi memberikan kenyataan mewakili PN.
Pada Khamis lalu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bahru menjelaskan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang kekal setakat ini.
Tempat duduk ahli Parlimen yang dipecat juga tidak berubah, biarpun wujud desakan dalaman Bersatu menuntut Hamzah digantikan dan kedudukannya diubah. – UTUSAN










