GUA MUSANG: Jumlah kenderaan semakin bertambah memasuki Kelantan, menyebabkan perjalanan pulang perantau sempena Hari Raya Aidilfitri mengambil masa lebih 12 jam dari ibu negara.
Nurliayana Zainal Abidin, 36, berkata, dari rumahnya di Kajang, Selangor mengambil masa lebih 11 jam untuk tiba di Gua Musang.
Katanya, keadaan itu bukan perkara baharu kerana kesesakan sering berlaku setiap kali musim perayaan.
“Kalau balik raya memang tak boleh elak apabila saya pernah menempuh kesesakan hampir 20 jam.
“Kali ini, saya bertolak pukul 12.30 tengah malam, tetapi banyak kali berhenti kerana membawa anak kecil. Dari Kajang ke Gombak aliran trafik sudah mula sesak, kemudian di Raub menuju Gua Musang lagi padat,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganggarkan sebanyak dua juta kenderaan akan masuk ke negeri ini melalui tiga laluan iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh sempena sambutan Syawal.
Wan Habibullah Wan Ibrahim, 34, berkata, dia bertolak pada pukul 4.30 pagi dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu selepas merujuk aplikasi Waze.
“Saya dimaklumkan semalam kesesakan lagi teruk. Saya cuba elak kesesakan ikut laluan Sungai Koyan, Pahang tapi bila sampai Padang Tengku hingga Gua Musang jalan sesak kerana kenderaan bertambah.
“Saya dapati banyak laluan sempit dan ada kawasan dari dua lorong jadi satu antara punca utama kesesakan,” katanya. – UTUSAN










