PUTRAJAYA: Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) memperuntukkan sebanyak RM220,000 kepada 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membantu pelajar yang memerlukan, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan asnaf.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, setiap IPTA menerima bantuan sebanyak RM20,000 bagi meringankan beban pelajar, khususnya bagi mendapatkan keperluan makanan harian ketika berada di kampus.
“Melalui program ini, kita berharap dapat membantu mahasiswa daripada golongan B40 serta asnaf untuk mendapatkan makanan apabila mereka menghadapi kekangan kewangan,” katanya pada majlis Gerobok Rezeki Siswa bersama 11 IPTA di sini, hari ini.
Menurutnya, program itu merupakan kali pertama dilaksanakan dengan kerjasama pihak universiti, berbanding sebelum ini bantuan disalurkan terus kepada pelajar secara individu.
“Sebelum ini, kita banyak membantu pelajar yang memohon bantuan seperti pembayaran yuran pengajian, komputer riba atau bahan pembelajaran lain.
“Namun, kali ini, kita bekerjasama dengan pihak universiti supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Yayasan PEKEMA turut meneruskan program kebajikan tahunan sempena Ramadan dengan menyalurkan RM720,000 bantuan kepada golongan asnaf dan B40 di seluruh negara melalui program shopping raya. – UTUSAN










