KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid kontemporari popular, Zayne, kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single Wanita Syurgawi Naskhah yang juga menjadi karya pengenalan kepada formasi baharu kumpulan tersebut.
Singke itu ciptaan sepenuhnya komposer berkaliber, Frizdan Fizarahman. Wanita Syurgawi istimewa kerana liriknya diadaptasi daripada hadith Nabi Muhammad SAW tentang keagungan dan keistimewaan Saiditina Khadijah di sisi Rasulullah SAW.
“Kali pertama mendengar demo daripada Abang Frizdan, kami terus jatuh hati. Proses rakaman tidak mengambil masa yang lama, namun kami sangat menitikberatkan soal penghayatan kerana lagu ini membawa mesej perjalanan sirah yang sangat agung antara Rasulullah dan isteri tercinta,” ujar Furqan Fawwaz selaku ketua kumpulan.
Susulan pengunduran dua anggota terdahulu, Basit dan Naufal Azrin, Zayne kini tampil lebih ampuh dengan penyertaan anggota baharu, Yusuf Kassim. Beliau bukanlah nama asing dalam dunia tilawah al-Quran apabila memegang gelaran Johan Qari Negeri Johor bagi tahun 2025.
Dalam pada itu, anggota Zayne, Mateen Yaaqub berkata penyertaan Yusuf Kassimselaku anggota baharu kumpulan itu memberikan warna baharu kepada identiti vokal Zayne.
“Zayne kali ini tampil dengan vokal yang lebih matang. Kehadiran Yusuf membawa Zayne terus ke hadapan, dan kami yakin variasi vokal yang dibawakannya sangat menyerlah dalam lagu ini,” katanya.
Yusuf dalam pada itu menyifatkan penyertaannya dalam Zayne sebagai satu rezeki yang indah.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Furqan dan Mateen kerana menerima saya dengan tangan terbuka untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Zayne,” jelasnya.
Zayne mensasarkan Wanita Syurgawi mampu menjadi naskhah hits, menyamai kejayaan lagu-lagu bertemakan serikandi sebelum ini.
Single ini boleh diperdengarkan menerusi semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan lain-lain.










