KOTA BHARU: Seorang wanita diarah mufaraqah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan hari ini selepas pernikahnya dengan lelaki warganegara Pakistan berlaku ketika perkahwinan pertamanya masih sah di sisi undang-undang.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd. Anwan Ab. Muttalib selepas permohonan yang failkan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Islam Daerah Kota Baru, Naim Md. Ghazali diterima mahkamah.
Naim menerusi permohonannya itu memberitahu, perkahwinan antara Che Rosmizan Che Seman dengan Muhammad Hussain menimbulkan kekeliruan dari sudut hukum syarak dan Enakmen Keluarga Islam Kelantan.
Katanya, mengikut Sistem Maklumat Perkahwinan Islam (e-Nikah) mendapati Che Rosmizan dan pasangan Rosman Yusof, 47, telah berkahwin pada 22 September 2000.
“Bagaimanapun, pasangan itu telah bercerai secara rasmi pada 14 Januari lalu di Mahkamah Syariah Bachok. Sebelum perceraian itu dimuktamadkan, pada 8 Disember lalu, Che Rosmizan didapati berkahwin lelaki warga Pakistan, Muhammad Hussain.
“Majlis itu berlangsung Mukim Bunut Payong, Kota Bharu ketika perkahwinan pertamanya masih sah di sisi undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Naim memberitahu, perkara itu bertentangan dengan hukum syarak kerana seorang wanita tidak dibenarkan mempunyai dua suami pada satu masa.
Katanya, selain itu situasi itu turut menimbulkan ketidakpastian terhadap rekod perkahwinan dan status undang-undang pihak terbabit.
“Saya kemudian, memohon mahkamah mengeluarkan perintah mufaraqah atau apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai.
“Hal ini, bagi menyelesaikan status perkahwinan berkenaan mengikut hukum syarak dan undang-undang,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang pesara tentera terkejut selepas mendakwa dia dimadukan oleh isterinya yang berkahwin dengan lelaki warga Pakistan ketika mereka masih lagi berstatus suami isteri.
Perkara tersebut terbongkar semasa lelaki berkenaan hadir ke pejabat agama di Bachok di sini pada Selasa lalu bagi mengambil surat cerai.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan dimaklumkan oleh pegawai bertugas bahawa bekas isterinya mempunyai dua suami dalam satu tempoh masa.-UTUSAN









