KPDN laksana skim kawalan harga barang sempena Tahun Baharu Cina 

KPDN laksana skim kawalan harga barang sempena Tahun Baharu Cina 

Mohd. Sabri Seman(tengah) memantau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan(SHMMP) di Jaya Grocer Signature KLGCC, pada Isnin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menjalankan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Jaya Grocer Signature KLGCC, sempena perayaan Tahun Baharu Cina. 

Pengarahnya, Mohd. Sabri Seman berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP adalah mengikut panduan dan penilaian keadaan semasa dalam memastikan harga tetap relevan tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan. 

“Pihak kami akan sentiasa memantau pematuhan SHMMP meliputi 16 jenis barang keseluruhan sepanjang sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari 2026 sempena perayaan Tahun Baharu Cina. 

“Ia bertujuan melindungi kepentingan pengguna supaya memperoleh barangan keperluan pada harga yang adil, di samping memastikan peniaga mematuhi perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Sabri, penetapan harga barangan terkawal hasil penilaian merangkumi pelbagai faktor termasuk input daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan SHMMP dibuat berdasarkan penilaian faktor pasaran semasa, termasuk kos, cuaca dan kadar upah.

“Ia juga mengambil kira pandangan serta input daripada rakan strategik utama KPKM, agensi-agensi Kerajaan berkaitan serta pemain-pemain industri bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pengguna dan kelangsungan perniagaan.

“KPDN akan sentiasa memperkukuh kerjasama strategik bersama KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal mencukupi dan stabil, mengelakkan sebarang manipulasi bekalan atau kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya.

Sabri berkata, dalam tempoh tiga hari lalu, sebanyak tujuh kes pelanggaran skim harga kawalan direkodkan di bawah Akta Kawalan harga dan Antipencatutan 2011.

Kata beliau, pihaknya akan mengambil tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggarkan peraturan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN