IPOH: Seorang wanita warga emas maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Lahat, Simpang Pulai di sini semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Noriah Mat Desa berusia 81 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu ditemui terbakar di ruang tamu rumah.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 10.31 malam.
Katanya, sebaik sahaja jentera tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah rumah jenis kelas A sedang marak terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.
“Anggota yang terlibat dalam operasi itu diberitahu bahawa terdapat seorang wanita terperangkap manakala adik lelakinya yang berusia 79 tahun berjaya menyelamatkan diri.
“Ketua operasi segera melaksanakan penilaian risiko seterusnya mengaplikasikan konsep Receo dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas selesai pemadaman dan penyiasatan, anggota membantu mengangkat mayat mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan BBP Pasir Puteh dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru itu tamat pada pukul 1.01 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN










