Video TikTok, gambar Zara Qairina bersama rakan ditayang di mahkamah

Video TikTok, gambar Zara Qairina bersama rakan ditayang di mahkamah

INKUES ZARA QAIRINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua rakaman video TikTok dan dua keping gambar yang memaparkan pelajar A bersama Allahyarham Zara Qairina Mahathir serta beberapa pelajar lain ditayangkan di Mahkamah Koronerdi pada prosiding inkues kematian Zara di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Pelajar A merupakan antara lima saksi kanak-kanak yang berdepan pertuduhan menghina Zara di Mahkamah Kanak-Kanak dan turut memberi keterangan dalam inkues berkenaan.

Menurut laporan media, rakaman video dan gambar itu diserahkan kepada mahkamah oleh peguam ibu Zara, Shahlan Jufri ketika meneruskan soalannya kepada ibu pelajar A berkaitan hubungan persahabatan antara arwah dan pelajar terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibu pelajar A yang memberi keterangan sebagai saksi ke-62 sejak semalam mengakui video dan gambar berkenaan merupakan kali pertama dilihatnya.

Bagaimanapun, dia memaklumkan pernah diberitahu oleh pelajar A bahawa anaknya sebelum ini pernah merakam video TikTok bersama arwah, namun tidak mengetahui jumlah video yang dihasilkan.

Dia turut menyatakan tidak mengingati sama ada pelajar A pernah memaklumkan kepadanya mengenai gambar yang memaparkan anaknya bersama Zara dan pelajar lain dalam keadaan ceria dan gembira semasa berada di sekolah tersebut.

Dua video TikTok yang ditayangkan di mahkamah memaparkan Zara bersama pelajar A dan beberapa rakan sekolah menggayakan aksi ‘Velocity’, yang didakwa oleh ibu pelajar A dirakam di bilik asrama sekolah mereka.

Ibu pelajar A memberitahu mahkamah bahawa beliau mengetahui lokasi rakaman video itu dibuat di bilik asrama kerana pernah berada di bilik berkenaan sebelum ini.

Shahlan: Kedua-dua video tadi dibuat di sekolah?

Ibu Pelajar A: Ya, dalam asrama mereka.

Shahlan: Macam mana puan tahu?

Ibu Pelajar A: Sebab saya pernah naik bilik ni.

Shahlan turut bertanya pendapat ibu Pelajar A mengenai situasi arwah bersama anaknya dan rakan yang lain dalam video terbabit dan gambar berkenaan yang kelihatan dalam suasana yang gembira dan ceria.

Ibu Pelajar A juga mengakui untuk membuat video berkenaan, ia memerlukan pelajar dalam video itu berbincang mengenai langkah atau koreografi sebelum ia dirakam.

Shahlan: Untuk buat video begini, pelajar perlu bincang ‘step’ atau koreografi sebelum direkodkan.

Ibu Pelajar A: Ya, mesti.

Shahlan: Amat mustahil video itu dapat direkod dengan begitu cantik dan sempurna sekali tanpa membabitkan perbincangan yang baik antara sesama mereka.

Ibu Pelajar A: Ya, betul.

Shahlan: Dalam video itu, Pelajar A kelihatan gembira berada dengan kawan-kawan sekolahnya.

Ibu Pelajar A: Ya.

Sementara itu, ibu pelajar A turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa anaknya dibuli di asrama berdasarkan apa yang diceritakan oleh pelajar A kepadanya melalui perbualan telefon.

Perkara tersebut dijelaskan ketika Shahlan bertanya bagaimana saksi mengesahkan bahawa pelajar A sering dibuli khususnya oleh rakan sebilik asrama termasuk arwah Zara.

Shahlan: Bagaimana kamu mengesahkan Pelajar A selalu dibuli terutama oleh ahli ‘dorm’ iaitu arwah Zara?

Ibu pelajar A: Melalui talian telefon yang selalu dia beritahu saya

Shahlan: Buli yang puan maksudkan ialah Pelajar A dituduh difitnah, dimaki dengan kata-kata kesat dan dipulau?

Ibu Pelajar A: Ya, betul.

Shahlan: Seingat puan siapa lakukan perkara begitu?

Ibu Pelajar A: Seingat saya Pelajar A sering beri nama Zara dan (nama pelajar lain).

Shahlan: Pernahkah puan hubungi ibu Zara mengenai kejadian seperti puan maksudkan dalam pernyataan saksi puan? Terutama arwah zara kononnya buli Pelajar A?

Ibu Pelajar A: Tidak pernah.

Shahlan: Kenapa tidak pernah?

Ibu Pelajar A: Sebab saya juga risau dia dimarah mak dia, biarlah orang ketiga tegur, maksud saya warden untuk beri kesedaran.

Shahlan: Pemahaman saya walaupun Pelajar A boleh buat video TikTok bersama Zara, tapi dibuli?

Ibu Pelajar A: Saya yakin persahabatan mereka nampak baik sebab selepas minggu kedua, di mana arwah Zara dan beberapa pelajar tidak pulang. Mereka tidur bersama di ‘dorm’ dan saya rasa mereka berbaik kerana gambar tadi selepas saya buat aduan, yang TikTok tak pasti bila tapi saya yakin selepas itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini