KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan masyarakat melalui penganjuran Program Outreach Kesihatan Komuniti @ UniMADANI, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial universiti yang memberi tumpuan kepada akses kesihatan pencegahan secara menyeluruh kepada komuniti setempat.
Program ini dilaksanakan sebagai platform jangkauan komuniti berimpak tinggi yang menekankan kepentingan saringan awal, pendidikan kesihatan serta intervensi pencegahan dalam mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kesedaran kesihatan awam, akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti serta pengukuhan kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti.
Menurut Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, program ini mencerminkan peranan universiti bukan sahaja sebagai institusi pendidikan pertahanan, malah sebagai agen kesejahteraan sosial kepada masyarakat.
“Ketahanan negara bukan sahaja diukur melalui kekuatan ketenteraan, tetapi ketahanan kesihatan, sosial dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata universiti pertahanan perlu berada di barisan hadapan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui pemindahan ilmu, kepakaran dan khidmat bakti kepada komuniti.
Melalui program ini, UPNM menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma merangkumi saringan kesihatan komprehensif, konsultasi doktor, pemeriksaan pergigian, vaksinasi, imbasan ultrasound serta latihan asas kecemasan dan bantuan hayat sebagai usaha meningkatkan literasi kesihatan masyarakat.
UPNM yakin inisiatif ini mampu menjadi model rujukan program universiti berteraskan komuniti yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi pertahanan yang berdaya saing dan berdaya tahan selari aspirasi UPNM30 dan Malaysia MADANI. – UTUSAN










